EKONOMI > BERITA

CPTPP: 100,000 TAN MINYAK SAWIT DARI SABAH DIEKSPORT KE UK DENGAN TARIF SIFAR

26/04/2025 11:00 AM

Daripada Salawaty Supardi

LONDON, 26 April (Bernama) -- Sebanyak 100,000 tan minyak sawit Malaysia dari Sabah yang dieksport ke United Kingdom (UK) pada awal bulan ini telah mendapat akses tarif sifar di bawah Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK dan Ireland Utara Datuk Zakri Jaafar.

Beliau berkata minyak sawit itu telah memasuki depot penyimpanan di pelabuhan Liverpool pada 5 April lepas dan merupakan konsainan pertama minyak sawit Malaysia di bawah CPTPP dengan tarif sifar.

“Melalui CPTPP, syarikat Malaysia dan UK kini mampu mengembangkan pasaran mereka ke peringkat yang lebih luas sekali gus berpotensi meningkatkan prospek perdagangan dua hala,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis makan malam dan sesi ramah mesra Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof bersama rakyat Malaysia di UK di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London pada Jumaat.

Seramai 80 orang menghadiri majlis tersebut, terdiri daripada pelajar Malaysia, wakil syarikat berkaitan kerajaan dan kakitangan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London.

Turut hadir isteri Fadillah, Datin Seri Ruziah Mohd Tahir, Ketua Pegawai Tenaga Baharu Tenaga Nasional Bhd (TNB) Mohd Zarihi Mohd Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Berhad Datuk Sharbini Suhaili serta delegasi dari Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

UK secara rasmi menyertai CPTPP pada 15 Disember tahun lepas, menjadikannya negara Eropah pertama menyertai blok perdagangan Asia Pasifik manakala perjanjian CPTPP ke atas Malaysia berkuat kuasa pada 29 Nov 2022.

Bagi sektor tenaga boleh baharu, Zakri berkata penglibatan Malaysia di UK akan memberi manfaat jangka panjang yang besar kepada negara terutamanya dari segi pindahan teknologi. 

“Pelancaran ladang solar berkapasiti tinggi yang dikendalikan oleh anak syarikat TNB di Eastfield dan Bunkers Hill pada Januari lepas menonjolkan kemampuan Malaysia dalam menyertai usaha penyelesaian tenaga lestari di seluruh dunia,” katanya.

Pelancaran ladang solar itu dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 17 Januari lepas semasa lawatan rasmi ke UK.

Bunkers Hill di Rotherwick (66.7 megawatt puncak (MWp) dan Eastfield di Harbury (35 MWp) itu merupakan ladang solar canggih dan inovatif. Kedua-dua ladang solar itu dengan gabungan kapasiti 102 MW menonjolkan kepakaran Malaysia dalam memacu penyelesaian tenaga lestari di seluruh dunia.

Malaysia merupakan rakan dagangan keempat terbesar UK di rantau Asia Tenggara dengan jumlah keseluruhan perdagangan mencecah RM15.30 bilion pada 2024. 

Jumlah pelaburan Malaysia di UK telah mencecah 19 bilion pound pada tahun yang sama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan