EKONOMI > BERITA

UNTUNG BERSIH BURSA MALAYSIA SUSUT KEPADA RM68.42 JUTA BAGI SUKU PERTAMA 2025

28/04/2025 04:38 PM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Keuntungan bersih Bursa Malaysia Bhd bagi suku pertama yang berakhir 31 Mac 2025 menyusut kepada RM68.42 juta daripada RM75.03 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun sebelumnya.

Perolehan bagi suku yang dinilai juga turun kepada RM184.38 juta daripada RM187.2 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Fad’l Mohamed berkata suku pertama 2025 merupakan tempoh yang mencabar bagi pasaran global selain dipengaruhi oleh faktor luaran yang memberi kesan kepada prestasi pasaran ekuiti.

"Bagi suku semasa yang disemak, nilai dagangan harian purata (ADV) bagi dagangan dalam pasaran (OMT) serta dagangan perniagaan langsung (DBT) merosot sebanyak 11.9 peratus kepada RM2.8 bilion pada suku pertama 2025 daripada RM3.2 bilion pada suku pertama 2024.

"Halaju dagangan pada suku pertama 2025 berkurang sebanyak enam mata peratusan kepada 33 peratus berbanding 39 peratus pada suku pertama 2024," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bursa Malaysia berkata bilangan hari dagangan yang lebih rendah iaitu dua hari pada suku pertama 2025 berbanding suku pertama 2024 turut menyumbang kepada penurunan dalam perolehan operasi.

Bagi pasaran derivatif, perolehan dagangan mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 13.7 peratus kepada RM28.9 juta pada suku pertama 2025 daripada RM25.4 juta pada suku pertama 2024.

"Peningkatan ini dipacu terutamanya oleh jumlah kontrak harian purata yang lebih tinggi untuk Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah," katanya.

Sementara itu, Bursa Malaysia berkata perolehan daripada yuran persidangan dan pendapatan berkaitan pameran meningkat sebanyak 12.1 peratus kepada RM7.1 juta pada suku pertama 2025 daripada RM6.4 juta pada suku pertama 2024, disokong oleh bilangan peserta yang lebih tinggi pada Persidangan dan Pameran Unjuran Harga Minyak Sawit dan Minyak Laurik.

"Di pihak pasaran Islam, perolehan operasi mencatatkan peningkatan sebanyak 23.0 peratus kepada RM5.5 juta pada suku pertama 2025 daripada RM4.5 juta pada suku pertama 2024, terutamanya dipacu oleh peningkatan perolehan dagangan Bursa Suq Al-Sila’ (BSAS) sebanyak RM4.9 juta pada suku pertama 2025 daripada RM4.3 juta pada suku pertama 2024," katanya.

Perolehan daripada Bursa Gold Dinar juga naik kepada RM0.6 juta pada suku pertama 2025 daripada RM200,000 pada suku pertama 2024.

Bursa Malaysia turut melaporkan segmen perniagaan datanya mengekalkan momentum pertumbuhan dengan perolehan operasi bertambah sebanyak 2.1 peratus kepada RM19.4 juta pada suku pertama 2025 daripada RM19.0 juta pada suku pertama 2024.

Mengulas mengenai prospek pasaran pada bulan akan datang, Fad’l berkata Bursa Malaysia tetap memberi tumpuan untuk memperkukuh ketahanan pasaran melalui usaha capaian yang berterusan.

Katanya langkah ini diambil walaupun berlaku ketidaktentuan pasaran global termasuk ketegangan geopolitik, keputusan dasar perdagangan dan monetari Amerika Syarikat serta turun naik harga komoditi yang terus membentuk sentimen pelabur.

Selain itu, Bursa Malaysia turut melaksanakan penawaran produk yang dipertingkatkan bagi meluaskan penyertaan pelabur.

“Kami menjangkakan inisiatif ini akan membantu mengurangkan kesan cabaran luaran selain mengekalkan aktiviti dagangan yang aktif di seluruh pasaran kami,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan