Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 29 April (Bernama) -- Delegasi daripada Muara Port Company Sdn Bhd (Muara Port) iaitu pengendali pelabuhan utama di Brunei telah memulakan lawatan kerja ke Dermaga Labuan Liberty bagi meneroka potensi kerjasama dalam operasi pengendalian kargo dengan pihak berkuasa pulau itu.
Delegasi itu diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wei Jin Feng dan Ketua Pegawai Operasi Fazilah Yassin.
Lawatan itu menandakan satu langkah penting ke arah mengukuhkan hubungan pelabuhan serantau dan kemudahan perdagangan antara Brunei dan Labuan.
Sesi taklimat dikendalikan oleh Megah Port Management Sdn Bhd (MPM) iaitu pengendali Dermaga Labuan Liberty.
Ketibaan delegasi turut dialu-alukan oleh Pengarah Urusan MPM Datuk Seri Patrick Tiong yang memberikan penerangan mengenai operasi kargo, keupayaan infrastruktur dan potensi logistik Pelabuhan Labuan,
“Kami optimistik mengenai peluang yang boleh diperolehi menerusi kerjasama rapat dengan Muara Port.
“Labuan mempunyai kedudukan strategik sebagai hab maritim serantau, jadi dengan adanya kerjasama ini, kami boleh meningkatkan aliran kargo antara kedua-dua pelabuhan dan menyumbang kepada logistik yang lebih cekap dalam BIMP-EAGA (Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur - Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina),” kata Tiong.
Beliau berkata perbincangan itu tertumpu kepada bidang yang mempunyai kepentingan bersama termasuk pengendalian kargo dalam kontena, kemudahan pemunggahan dan sinergi operasi yang boleh meningkatkan daya tahan rantaian bekalan serantau.
Tiong juga menekankan mengenai usaha berterusan MPM untuk memodenkan kemudahan pelabuhan dan menarik lebih banyak aktiviti maritim serantau, memandangkan kerjasama itu sejajar dengan matlamat Malaysia untuk mengembalikan kedudukan Labuan sebagai pintu masuk maritim dan logistik.
Lawatan kerja itu diakhiri dengan kunjungan ke Dermaga Labuan Liberty, bagi memberi peluang kepada pegawai Muara Port untuk mendapatkan gambaran sebenar mengenai operasi pelabuhan dan pelan pembangunan masa depannya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial