KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Transformasi Kelantan sebagai hab perindustrian semakin menyerlah dengan ketara berikutan kejayaan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) memperoleh pelaburan direalisasikan sebanyak RM1.21 bilion, didorong terutamanya oleh sektor pembuatan.
Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata pencapaian yang melepasi sasaran pelaburan tahunan itu, mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dengan sokongan kerajaan persekutuan menerusi ECERDC.
“Pelaburan direalisasikan sebanyak RM1.21 bilion, sebahagian besarnya didorong oleh sektor tenaga boleh baharu, menandakan kesediaan Kelantan untuk pembangunan berimpak tinggi.
“Dengan tambahan RM290 juta dalam pelaburan komited dijangka mewujudkan lebih 650 peluang pekerjaan, selain keyakinan pelabur terhadap potensi pertumbuhan jangka panjang di Kelantan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER Kelantan di Kota Bharu hari ini.
ECERDC dalam satu kenyataan berkata pencapaian itu mengesahkan daya tarikan yang dimiliki oleh Kelantan sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif dalam ECER.
Menurut ECERDC, penyumbang utama kepada kejayaan itu termasuk projek loji janakuasa hidro mini 84 megawatt (MW) di Kuala Krai, yang telah memulakan kerja-kerja asas dan pembangunan pusat automotif 3S (jualan, servis dan alat ganti) di Taman Halal Pasir Mas, yang dijangka mula beroperasi pada suku keempat 2025.
Dalam kenyataan itu, ECERDC berkata kemajuan ketara turut dicatatkan dalam pembinaan Jambatan Palekbang-Kota Bharu.
Katanya, kerja-kerja pemasangan komponen utama iaitu penyambungan struktur kabel merentasi Sungai Kelantan bermula pada April 2025 dan keseluruhan projek dijangka siap mengikut jadual.
Sementara itu, ECERDC turut mengesahkan perjanjian kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan dan Pertubuhan Peladang Kawasan Bukit Awang hari ini.
Perjanjian itu bagi melaksanakan Inisiatif Pendapatan Rakyat – Program Usahawan Tani (IPR-INTAN), bertujuan meningkat pendapatan rakyat Malaysia khususnya kumpulan B40, dengan memperkenalkan teknologi pertanian moden dan mewujudkan usahawan asas tani.
“Projek fertigasi cili menggunakan teknologi pintar seluas 23 hektar ini dijangka mula beroperasi pada suku ketiga 2025 dan menyasarkan menjana pendapatan bulanan yang mampan sehingga RM2,000 sebulan kepada 100 peserta menerusi amalan pertanian moden,” kata ECERDC.
Sementara, di bawah Projek Pengukuhan Industri Tenusu Kambing Kelantan, ECERDC berkata pihaknya sudah menubuhkan Pusat Pengumpulan Susu Kambing di Ketereh dan Pasir Puteh, disokong oleh kemudahan pengeluaran makanan ternakan bagi menjamin kualiti dan bekalan makanan.
ECERDC berkata inisiatif itu dijangka meningkatkan pengeluaran susu segar, mengukuhkan tahap sara diri industri tenusu tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada import.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial