KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Kebenaran perancangan telah diberikan untuk fasa pembangunan semula Battersea Power Station yang seterusnya di London, pencapaian penting dalam pembangunan seluas 16.99 hektar (42 ekar) itu.
Battersea Power Station Development Company (BPSDC) Ltd mengesahkan bahawa fasa baharu itu akan termasuk ruang kediaman, runcit, komuniti dan rekreasi, dengan kelulusan perancangan terperinci daripada Wandsworth Council.
“Fasa terkini ini menambah dua bangunan kediaman baharu yang direka oleh Gehry Partners terdiri daripada 306 unit,” menurut BPSDC dalam kenyataan.
Katanya pembangunan ini akan turut menampilkan Hab Komuniti seluas 15,000 kaki persegi dan mewujudkan lebih 400 pekerjaan, meningkatkan jumlah pekerjaan yang dijana kepada 6,800.
Kerja-kerja pembinaan dijangka bermula lewat tahun ini dan dijangka siap pada 2029.
Setakat ini, lebih 2,200 unit kediaman telah siap dan lebih 3,000 penduduk kini menetap di kawasan tersebut.
Pembangunan ini turut menyokong komuniti pejabat yang berkembang, dengan lebih 3,500 pekerja dari syarikat seperti Apple, SharkNinja dan IWG.
Battersea Power Station merupakan sebahagian daripada program pembangunan semula meliputi kawasan seluas 42 ekar di tebing selatan Sungai Thames. Apabila siap, projek ini dijangka mewujudkan lebih 20,000 pekerjaan, 4,000 unit kediaman dan 19 ekar ruang awam.
Pembangunan menyeluruh ini dimiliki oleh sebuah konsortium pelabur Malaysia yang terdiri daripada Sime Darby Property (40 peratus), S P Setia (40 peratus) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (20 peratus). Aset komersial di Power Station kini dimiliki secara langsung oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan KWSP.
Projek ini diuruskan oleh BPSDC.
Maklumat lanjut, layari [www.batterseapowerstation.co.uk](http://www.batterseapowerstation.co.uk) dan ikuti @BatterseaPwrStn.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial