EKONOMI > BERITA

SD GUTHRIE HANTAR MINYAK SAWIT PERTAMA BEBAS TARIF DI BAWAH CPTPP KE UK

02/05/2025 02:46 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- SD Guthrie Bhd buat pertama kalinya menghantar minyak sawit mampan (CSPO) yang diperakui Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit (RSPO) bebas tarif ke United Kingdom di bawah Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu mengumumkan bahawa Kilang Penapisan SD Guthrie International Liverpool menerima 8,000 tan CSPO yang boleh dikesan dan diasingkan sepenuhnya. Kargo berkenaan dihantar menerusi kapal Dolphin 19 dari Pelabuhan Kunak, Sabah pada 19 Februari.

CSPO tersebut telah menjalani ujian yang ketat untuk memastikan hidrokarbon dalam minyak mineral tepu dan hidrokarbon dalam minyak mineral aromatik pada tahap yang rendah.

"CPTPP ialah perjanjian perdagangan bebas yang ditandatangani pada 2018 oleh 11 negara Lingkaran Pasifik, termasuk Malaysia. Perjanjian itu menghapuskan kebanyakan tarif sambil menggalakkan integrasi ekonomi dan mengekalkan perlindungan buruh dan alam sekitar yang kukuh dalam kalangan negara anggotanya.

"Dengan keahlian rasmi UK dalam CPTPP berkuat kuasa pada 15 Dis 2024, tarif ke atas minyak sawit mentah dan derivatifnya yang diimport dari Malaysia ke UK telah dihapuskan. Sebelum ini, tarif ini adalah antara dua peratus hingga 10 peratus," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengarah Urusan Kumpulan SD Guthrie Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata penghantaran itu menyerlahkan bukan sahaja kekuatan hubungan perdagangan Malaysia-UK tetapi juga komitmen kukuh syarikat untuk memastikan kualiti, kebolehkesanan dan keselamatan bekalan minyak sawit mampan kepada pelanggan di UK.

Selama lebih sedekad, kilang penapisan SD Guthrie di Liverpool menjadi pintu masuk syarikat kepada CSPO untuk memasuki pasaran UK, bagi memenuhi kira-kira 50 peratus hingga 55 peratus permintaan minyak sawit domestik.

Produk yang dihasilkan daripada kilang penapisan itu digunakan secara meluas di seluruh negara itu oleh kedai makan yang menyajikan menu fish and chips untuk menggoreng, sebagai bahan utama dalam pengeluaran banyak jenama biskut popular serta barangan untuk pembuatan roti dan kuih-muih kegemaran British.

“Walaupun rantaian bekalan kami di Papua New Guinea (PNG) telah dan kekal sebagai sumber utama produk kami untuk pasaran UK, penghantaran terbaharu yang berasal dari rantaian bekalan kami di Sabah menggariskan keupayaan kami untuk menyediakan bekalan CSPO yang konsisten dan stabil ke UK, sambil mengekalkan piawaian tertinggi kualiti, kemampanan dan keselamatan makanan.

“Bergantung kepada keadaan pasaran dan keperluan pelanggan, kami boleh menawarkan pelanggan keterjaminan bekalan yang mereka perlukan untuk menjalankan perniagaan mereka, dari Malaysia atau PNG,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan