KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- East Coast Energy (ECE) 2025, sidang kemuncak peralihan tenaga untuk wilayah pantai timur Malaysia yang julung kali diadakan, akan meletakkan Terengganu sebagai hab sedia masa depan untuk peralihan tenaga.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Terengganu dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata ECE 2025 akan menjadi mekanisme penting untuk menyelaraskan dasar awam, inovasi industri dan kerjasama wilayah bagi menyokong agenda transformasi tenaga negara.
“ECE 2025 berperanan sebagai peluang strategik untuk menarik pelaburan tenaga bersih, meningkatkan kesedaran awam mengenai aspirasi sifar bersih dan menggalakkan perkongsian lebih kukuh di seluruh koridor ekonomi Pantai Timur.
“Terengganu komited untuk memacu agenda tenaga boleh baharu -- termasuk tenaga solar, pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCUS), hidrogen hijau dan pembangunan infrastruktur mampan,” katanya pada sidang akhbar mengenai ECE 2025 di sini hari ini.
ECE 2025 dijadual diadakan pada 23 hingga 24 Jun, 2025, di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu.
Acara itu dianjurkan oleh Informa Markets -- yang juga menganjurkan persidangan dan pameran Oil and Gas Asia (OGA) -- dan disokong oleh Terengganu Inc sebagai rakan strategik, Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC) sebagai rakan korporat dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sebagai rakan pengetahuan.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terangganu Inc Datuk Burhanuddin Helmi Mohamed berkata ECE 2025 dirangka dengan objektif utama untuk mewujudkan platform kukuh bagi dialog yang membawa impak antara kerajaan, pihak berkepentingan industri dan masyarakat.
“Melalui ECE 2025, kita ingin memupuk kerjasama dan penyertaan aktif komuniti tempatan dalam pembangunan berkaitan tenaga, dan menekankan manfaat sosio-ekonomi untuk perusahaan kecil dan sederhana, usahawan dan belia kita, memastikan pembangunan tenaga diterjemahkan kepada peluang untuk semua.
“Sebagai rakan strategik, kita juga ingin berkongsi pandangan berharga mengenai peralihan tenaga, kemampanan dan pendigitalan,” katanya.
Burhanuddin Helmi berkata ECE 2025 dijangka menjadi platform utama negara ini untuk kerjasama, perkongsian pengetahuan dan peluang pelaburan, dengan kehadiran lebih 800 perwakilan dijangkakan, menandakan pencapaian penting dalam memajukan peranan Pantai Timur dalam strategi tenaga negara.
"Acara ini akan menjadi titik permulaan untuk membina ekosistem tenaga yang berdaya tahan, inovatif dan inklusif di Pantai Timur. Ini merupakan gesaan ke arah tindakan untuk kita semua bekerjasama demi masa depan tenaga yang mampan," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EPIC Dr Muhtar Suhaili berkata sebagai rakan korporat, EPIC gembira untuk menerajui acara itu memandangkan pihaknya meraikan legasi syarikat sebagai asas ekosistem tenaga Pantai Timur.
“Selama lebih empat dekad, EPIC telah memacu pertumbuhan industri dan pembangunan wilayah.
"Menerusi ECE 2025, kami membina berasaskan usaha iu, menghimpunkan inovasi, kemampanan dan kerjasama untuk memanfaatkan peluang baharu dan memberikan impak berkekalan untuk generasi akan datang," katanya dalam kenyataan.
Naib Presiden Kanan (Projek, Teknologi dan Kesihatan, Keselamatan, Jaminan serta Alam Sekitar) Petronas, Mohd Yusri Mohamed Yusof berkata pihaknya gembira menjadi sebahagian daripada ECE 2025, yang berfungsi sebagai platform yang tepat pada masanya untuk menekankan kepentingan strategik Pantai Timur dalam menyokong peralihan tenaga Malaysia.
“Ketika kita mahu merealisasikan matlamat kemampanan kami, inovasi dan kerjasama adalah penting. Petronas komited untuk terus membuka peluang dengan menggalakkan ekosistem inovasi dan kerjasama yang memberi impak, ke arah mewujudkan masa depan yang mampan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial