KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- CIMB Securities Sdn Bhd menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bps) kepada 2.75 peratus pada 9 Julai 2025, sebelum mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada Mei.
Langkah itu akan membolehkan bank pusat menilai lebih banyak data terutamanya berkaitan perdagangan luar susulan tarif Amerika Syarikat (AS), termasuk pengumuman angka keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku pertama 2025 pada 16 Mei, perdagangan luar April (20 Mei) dan data perdagangan luar Mei (20 Jun).
"Rundingan perdagangan dengan AS masih diteruskan. Memandangkan implikasi terhadap Malaysia agak besar penilaian memerlukan masa. Mesyuarat MPC pada Julai juga bersamaan dengan tarikh akhir penangguhan tarif selama 90 hari,” katanya.
Bank juga menjangkakan lebih kecenderungan untuk menurunkan kadar dan MPC akan menilai risiko penurunan yang akan menjejaskan ekonomi.
Menurutnya, kenyataan oleh Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour baru-baru ini yang mengetengahkan risiko penurunan yang berpunca daripada keadaan perdagangan semasa, membayangkan unjuran rasmi pertumbuhan KDNK sebanyak 4.5–5.5 peratus mungkin akan diturunkan.
"BNM pada masa ini mengunjurkan eksport kasar berkembang sebanyak 5.2 peratus pada 2025, turun daripada 5.7 peratus pada 2024.
“Setakat Mac, pertumbuhan eksport berada pada purata 4.4 peratus. Bagaimanapun, penunjuk terkini — termasuk indeks pengurus pembelian (PMI) pembuatan terkini — menunjukkan petanda penurunan lagi," katanya.
CIMB Securities berkata kelewatan dalam pengembangan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan rancangan rasionalisasi subsidi bahan api RON95 - yang akan memberi kesan kepada sebahagian daripada penduduk - juga dijangka mengehadkan tekanan ke atas harga.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial