EKONOMI > BERITA

PROTON KEMBALI KE SINGAPURA, PERKENAL E.MAS 7 DI THE CAR EXPO 2025

03/05/2025 07:31 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Proton Holdings Bhd (Proton) kembali ke Singapura dengan kenderaan elektrik (EV) pertamanya, Proton e.MAS 7, yang akan dipertontonkan secara eksklusif kepada orang ramai di The Car Expo 2025 pada hujung minggu ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, pengeluar kereta nasional itu berkata kemunculan semula jenama itu tidak lama selepas penampilan sulung model berkenaan di peringkat antarabangsa di Nepal pada penghujung Mac.

Ia berkata dengan kejayaan Proton e.MAS 7 sebagai EV paling laris di Malaysia untuk empat bulan berturut-turut, pelancaran itu juga menandakan kemunculan semula jenama berkenaan ke republik berkenaan setelah lebih satu dekad.

“Melalui kerjasama dengan pengedar rasmi baharu VINCAR Group, syarikat automotif Malaysia kembali menembusi pasaran eksport yang kini menduduki tempat kedua tertinggi di dunia dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perkapita berdasarkan pariti kuasa beli.

“Pada masa hadapan, VINCAR akan menerajui operasi barisan EV Proton di bawah jenama e.MAS, menawarkan kenderaan elektrik berkualiti tinggi yang direka untuk gaya hidup bandar yang sesuai untuk warga Singapura,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Dr Li Chunrong berkata pelancaran Proton e.MAS 7 di Singapura merupakan langkah penting dalam memperluas pasaran antarabangsa serta komitmen untuk memperkenalkan EV berkualiti tinggi dan canggih ke rantau ini.

“Kami yakin e.MAS 7, yang menampilkan ciri-ciri menarik dan kesesuaiannya untuk persekitaran bandar, akan mendapat sambutan positif daripada pemandu di Singapura yang semakin mengutamakan mobiliti elektrik.” katanya.

Pengunjung berpeluang melihat sendiri kedua-dua varian Prime dan Premium yang dilengkapi sistem pacuan elektrik 12-dalam-1 berprestasi tinggi serta bateri Aegis ‘short blade’ di booth D25, Singapore EXPO Hall 3 dan 4.

Kembalinya Proton ke Singapura tepat pada masanya sejajar dengan peralihan pantas negara itu ke arah mobiliti hijau.

Menurut Proton, pasaran EV di Singapura meningkat secara konsisten daripada 12 peratus kepada 18 peratus daripada jumlah keseluruhan industri automotif antara 2022 hingga 2023, dengan sasaran mencapai 55 peratus menjelang 2027.

“Sebagai langkah sokongan kepada perubahan ini, kerajaan Singapura menyasarkan untuk menyediakan sekurang-kurangnya 12,000 tempat pengecasan EV di sekitar 2,000 kawasan parkir Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) menjelang 2025, dan 60,000 menjelang 2030.

“Selain itu, kerajaan turut menetapkan matlamat untuk memastikan 100 peratus kenderaan menggunakan tenaga bersih menjelang 2040, sebagai sebahagian daripada usaha mencapai pengurangan perlepasan daripada pengangkutan darat.

Di Malaysia, Proton berkata lebih 6,000 tempahan telah diterima setakat ini yang menunjukkan semakin ramai rakyat Malaysia bersedia beralih kepada EV keluaran tempatan, asalkan pakej keseluruhan memenuhi jangkaan mereka.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan