Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Kalangan ahli ekonomi menyemak turun pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia 2025 kepada 4.5 peratus berikutan pelaksanaan tarif oleh Amerika Syarikat (AS) yang memberi kesan, namun pada masa sama terus yakin dengan daya tahan ekonomi.
Bagaimanapun mereka menekankan negara perlu mempergiat usaha penambahbaikan untuk meningkatkan aktiviti ekonomi dan meneroka pasaran baharu sebagai maklum balas kepada tindakan perdagangan AS yang dikatakan kurang adil.
Antara aspek terpenting adalah meningkatkan aktiviti pengilangan dan perindustrian, mempelbagaikan pasaran eksport menerusi perjanjian perdagangan bebas baharu, memperuntukkan lebih banyak dana untuk automasi, penyelidikan dan pembangunan serta membangunkan sektor seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi hijau dan keselamatan siber.
Ahli ekonomi berkenaan yang menyemak turun unjuran pertumbuhan KDNK kepada antara 3.5 hingga 4.5 peratus berbanding unjuran kerajaan sebelum ini iaitu 4.5 hingga 5.5 peratus berkata, Malaysia tidak boleh mendedahkan terlalu banyak maklumat mengenai isu seperti kedaulatan data, harta intelek dan kawalan sektor teknologi semasa berunding mengenai tarif dengan AS.
Bagaimanapun mereka bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi penerangan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat mengenai tarif AS hari ini bahawa ekonomi Malaysia masih mempunyai daya tahan, disokong oleh asas ekonomi yang kukuh dan pengurusan fiskal yang proaktif.
Bagaimanapun mereka tidak menolak kemungkinan bahawa tarif 24 peratus yang dikenakan ke atas Malaysia akan memberi kesan buruk kepada sektor semikonduktor, pengilangan, perniagaan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang boleh menjejaskan peluang pekerjaan serta aliran pelaburan terutama daripada syarikat AS.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menyifatkan keadaan ini sebagai dinamik dan beliau berkata negara dijangka tidak mencapai unjuran terdahulu pertumbuhan KDNK 2025 iaitu antara 4.5 hingga 5.5 peratus.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia juga baru-baru ini menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia, masing-masing kepada 3.9 peratus dan 4.1 peratus.
"Sehubungan itu, unjuran baharu KDNK akan diturunkan dengan mempertimbangkan kesan daripada tarif ini.
“Aspek ini akan menentukan hala tuju peruntukan dalam Belanjawan 2025 terutama dari segi pelaksanaan (reformasi fiskal) yang dipercepatkan, dan kemungkinan semakan semula sasaran nisbah defisit fiskal kepada KDNK sebanyak 3.8 peratus," katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata Malaysia adalah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka dan AS adalah antara rakan dagang utama negara.
Beliau berkata kejutan tarif berpotensi mengurangkan permintaan dari AS berikutan kos import dari Malaysia dan negara lain akan meningkat.
"Kesan langsung akan melibatkan eksport kita ke AS, pengeluaran sektor pembuatan berorientasikan eksport dan pekerja yang berurusan secara langsung dengan permintaan dari AS.
"Kesan seterusnya pula ialah sentimen pasaran kewangan, perniagaan dan pengguna, yang mempengaruhi keputusan pelaburan dan perbelanjaan.
“Justeru, ia memberi kesan langsung terhadap pertumbuhan ekonomi. Mungkin sasaran pertumbuhan KDNK baharu berada antara 3.5 peratus dan 4.5 peratus," katanya.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri bahawa asas ekonomi yang teguh membolehkan negara ini menempuh cabaran global semasa.
“Walaupun berdepan tekanan luaran, Malaysia terus menunjukkan daya tahan yang disokong oleh kepelbagaian perdagangan, institusi kewangan yang stabil dan pengurusan fiskal yang proaktif.
“Ini sejajar dengan semakan semula unjuran KDNK saya daripada 4.8 peratus (unjuran pada Februari 2025) kepada 4.5 peratus,” katanya.
Pelbagaikan Rakan Dagang dan Naik Taraf Industri
Sambil mengakui bahawa perbincangan serius sedang dijalankan berhubung perjanjian perdagangan dua hala yang berpotensi memberi manfaat jangka panjang kepada Malaysia dan AS, Mohd Sedek turut menekankan bahawa Malaysia perlu kekal realistik dalam meletakkan harapan.
“Jika Malaysia gagal mendapatkan pengecualian daripada tarif tersebut, kesannya boleh menjadi buruk. Elektronik merangkumi separuh daripada eksport kita ke AS dan kita adalah sebahagian daripada rantaian bekalan semikonduktor global.
“Pengenaan tarif boleh menjejaskan margin keuntungan, menjejaskan pekerjaan serta mengancam aliran pelaburan terutamanya daripada syarikat teknologi AS. PKS, yang membentuk hampir keseluruhan perniagaan di Malaysia, adalah antara yang paling terdedah dengan risiko ini,” katanya.
Mohd Sedek berkata mempelbagaikan rakan perdagangan menerusi ASEAN, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan hubungan lebih rapat dengan China, India dan Kesatuan Eropah akan memberi Malaysia lebih kuasa untuk mengadakan rundingan dengan AS.
“Di dalam negara, kita perlu menggandakan usaha untuk menaik taraf industri kita. Dana Transformasi Digital yang diumumkan pada Belanjawan 2025, merupakan satu permulaan yang baik.
“Tetapi kita perlu memastikan bahawa dana itu disalurkan ke dalam automasi, penyelidikan dan pembangunan dan membangunkan sektor-sektor seperti AI, teknologi hijau dan keselamatan siber.
“Semua industri ini akan meningkatkan kedudukan kita dalam rantaian nilai dan membantu kita mengelakkan diri daripada perangkap pendapatan sederhana,” katanya.
Mohd Sedek turut menekankan bahawa sebarang rundingan dengan AS mesti menggunakan pendekatan berhati-hati.
“Kita tidak boleh memberikan terlalu banyak, terutamanya membabitkan kedaulatan data, harta intelek atau kawalan terhadap sektor teknologi kita.
“Jadi, memiliki kedudukan itu memberi jaminan kukuh untuk membolehkan kita menolak apabila keadaan memerlukannya dan mengelakkan tawaran yang tidak memenuhi kepentingan negara kita,” katanya.
Menangani kesan halangan bukan tarif dalam sektor pertanian
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melantik Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Mastura Ahmad Mustafa iaitu antara penjawat awam kanan yang paling berpengalaman sebagai ketua perunding Malaysia dalam rundingan tarif rasmi dengan AS, tidak lama lagi.
AS juga telah melantik seorang daripada penolong wakil perdagangannya (USTR) untuk mengetuai rundingan itu, dengan kedua-dua pihak bersetuju untuk memulakan perbincangan selepas Kabinet Malaysia memberikan lampu hijau.
Menurut MITI, antara bidang tumpuan utama adalah mengurangkan tarif, menangani halangan bukan tarif, terutamanya dalam pertanian dan lebihan dagangan Malaysia dengan AS, yang kini berjumlah US$25 billion (RM108.12 bilion).
Menurutnya Malaysia telah mengurangkan ketidakseimbangan perdagangannya hampir separuh dalam tempoh empat tahun lepas iaitu daripada lebih US$40 bilion kepada US$25 bilion.
Mengenai kaedah menangani halangan bukan tarif dalam sektor pertanian memberi kesan kepada pengeluar tempatan dan kecekapan perdagangan keseluruhan antara Malaysia dan AS, Mohd Afzanizam berkata berdasarkan laporan USTR mengenai halangan perdagangan asing pada 31 Mac 2025, pelaksanaan pensijilan halal yang tegas telah menjejaskan eksport daging lembu AS ke Malaysia.
"Jika isu sedemikian dapat ditangani, ia akan menambah baik bekalan daging lembu negara kerana Malaysia boleh mendapatkan lebih banyak daging lembu dari AS. Nisbah sara diri Malaysia untuk daging lembu berada pada 15.9 peratus pada 2023.
"Malaysia memerlukan bahagian import daging lembu yang besar untuk memenuhi permintaan tempatan. Ia bergantung kepada jenis produk pertanian, menangani halangan bukan tarif bermakna menambah baik akses kepada lebih banyak bekalan dari luar negara," katanya.
Mohd Afzanizam berkata sektor elektrik dan elektronik serta komoditi tertentu seperti minyak sawit dan gas asli cecair telah menyumbang kepada lebihan dagangan Malaysia.
“Petroleum mentah telah mencatatkan defisit perdagangan selama tiga tahun berturut-turut.
"Malaysia telah bergantung kepada import untuk produk lain seperti pertanian makanan dan peralatan jentera tertentu. Trend sedemikian menunjukkan bahawa negara perlu meningkatkan inovasi, mempelbagaikan rangkaian produk eksport dan meningkatkan keadaan kompleks dalam aktiviti ekonomi," katanya.
Justeru, Mohd Afzanizam berkata penyusutan lebihan perdagangan Malaysia memberi peringatan bahawa negara perlu meningkatkan aktiviti ekonomi.
Lebihan dalam imbangan dagangan Malaysia susut kepada RM136.8 bilion pada 2024 daripada RM215.2 bilion pada 2023 dan RM256.2 bilion pada 2022, katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial