EKONOMI > BERITA

PKS SINGAPURA TUNJUK MINAT KETARA TERHADAP JS-SEZ, TINJAU PELUANG - PESURUHJAYA TINGGI

06/05/2025 03:25 PM

SINGAPURA, 6 Mei (Bernama) -- Kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Singapura menunjukkan minat ketara terhadap Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), termasuk peluang beralih atau mengembangkan perniagaan di kawasan berkenaan.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar berkata pegawai di pejabatnya juga saban hari menerima pertanyaan mengenai JS-SEZ, malah pihaknya secara aktif berkongsi maklumat itu kepada mereka.

Beliau berkata minat itu kekal ketara meskipun wujud ketidaktentuan susulan daripada tindak-tanduk Amerika Syarikat (AS) dalam isu tarif dan perkembangan itu dijangka meningkatkan lagi permintaan terhadap bakat tempatan di Malaysia.

“Seperti yang diketahui, dunia kini dalam ketidaktentuan susulan persaingan antara AS dan China. Saya rasa ramai pelabur yang mencari lokasi bagi tujuan pelaburan seterusnya tanpa berdepan sebarang masalah.

“Bagi saya, PKS di Singapura juga semakin menyedari bahawa republik ini mahal dari segi operasi dan mereka perlu mencari tempat lain untuk kekal berdaya saing,” katanya sejurus melepaskan peserta ASEAN Unity Drive 2025 di pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di sini, hari ini.

Azfar berkata lokasi Johor yang berhampiran dengan Singapura serta kos operasi lebih rendah, juga hanya menjadikan JS-SEZ sebagai destinasi menarik bagi PKS yang berminat mencari peluang berpindah atau mengembangkan operasi mereka.

Pada masa sama, katanya, pendirian berkecuali Malaysia terhadap ketegangan AS-China itu akan terus menggalakkan perniagaan melihat JS-SEZ sebagai alternatif yang wajar.

Perjanjian JS-SEZ telah dimeterai secara rasmi oleh pemimpin Malaysia dan Singapura pada Januari lepas.

Zon yang merangkumi 11 sektor ekonomi itu menyediakan insentif khas bagi industri seperti logistik, pembuatan, perkhidmatan kewangan, perkhidmatan, ekonomi digital, pelancongan, keterjaminan makanan, pendidikan, kesihatan, tenaga dan ekonomi hijau.

Sembilan kawasan strategik juga disenaraikan di bawah JS-SEZ iaitu Pusat Bandar Johor Bahru, Iskandar Puteri, Tanjung Pelepas-Tanjung Bin, Pasir Gudang, Senai-Skudai, Sedenak, Forest City, Desaru dan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC).

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan