KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Pharmaniaga Bhd mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM29.58 juta pada suku pertama yang berakhir 31 Mac 2025, meningkat daripada RM25.65 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Perolehan dalam suku tersebut naik sebanyak 9.4 peratus kepada RM1.06 bilion daripada RM964.96 juta sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Pertumbuhan perolehan tersebut dipacu terutamanya oleh permintaan yang lebih tinggi dalam segmen konsesi disebabkan peningkatan jumlah pesanan daripada hospital kerajaan serta penambahan produk baharu ke dalam Senarai Pembelian Produk Diluluskan (APPL).
Pengarah Urusannya Zulkifli Jafar berkata kumpulan terus menunjukkan prestasi yang konsisten dalam semua segmen perniagaan.
Dalam pada itu, katanya, kumpulan itu juga mencapai beberapa pencapaian penting dalam sektor biofarmaseutikalnya termasuk pelancaran vaksin selesema pertamanya dan kemasukan ke dalam pasaran insulin.
Kumpulan berkenaan mencapai kemajuan ketara dalam mengembangkan perniagaan kerajaan bukan konsesinya.
Ia juga memperoleh dua tender utama daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pembekalan ubat suntikan khusus bernilai tinggi berjumlah RM97.5 juta bagi tempoh tiga tahun.
"Selain itu, Pharmaniaga memperoleh kontrak bernilai RM139.0 juta untuk membekalkan penyelesaian dialisis untuk Pertubuhan Keselamatan Sosial sehingga 2029 sekali gus mencerminkan keyakinan pasaran yang berterusan terhadap keupayaan kumpulan ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata Zulkifli, momentum biofarmaseutikal kumpulan juga semakin mendapat perhatian dengan pemberian kontrak pembekalan insulin manusia bernilai RM3.0 juta daripada hospital pengajar di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi.
Di Indonesia, katanya, kumpulan memulakan aktiviti pembuatan kontrak dengan beberapa syarikat terkemuka di bawah Organisasi Pembangunan dan Pembuatan Kontrak (CDMO).
"Untuk mengembangkan perniagaan pembuatan, kami mengamalkan pendekatan dua negara iaitu meniru inisiatif yang berjaya di Malaysia ke Indonesia.
"Dengan berkongsi kepakaran dan amalan terbaik di kedua-dua pasaran, bahagian Indonesia kami mendapat manfaat daripada penyelidikan dan pembangunan Malaysia melalui pemindahan teknologi serta membekalkan produk farmaseutikal terkini ke pasaran," kata Zulkifli.
Pharmaniaga sedang meneruskan pelaksanaan Pelan Pemulihan untuk keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17) selepas mendapat resolusi pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang diadakan pada 20 Mac 2025.
Dengan inisiatif strategik yang sedang dilaksanakan, Pharmaniaga berkata ia kekal memberi tumpuan untuk mencapai sasaran pertumbuhannya bagi 2025 selain mengukuhkan kedudukan pasaran dalam segmen perniagaan terasnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial