EKONOMI > BERITA

NTT DATA PAYMENT SERVICES LANCAR ADAPTIS, ERA BAHARU DALAM ARENA PERNIAGAAN

08/05/2025 01:18 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- NTT DATA Payment Services kini melancarkan ADAPTIS, rangkaian solusi pembayaran bersepadu dan pelbagai yang direka untuk memenuhi keperluan perniagaan moden yang berkembang maju.

Dalam kenyataan hari ini, NTT DATA Payment Services menjelaskan ADAPTIS menjadi penanda aras bagi pencapaian strategik dalam transformasi pihaknya, menggabungkan inovasi, fleksibiliti dan kepakaran serantau untuk membentuk masa depan perdagangan di Asia Tenggara.

“Rangkaian perkhidmatan ADAPTIS termasuk lima tawaran utama yang direka untuk memperkukuh perniagaan dengan perkhidmatan yang lebih fleksibel dan cekap.

“Tawaran utama itu ialah ADAPTIS In-Store untuk melancarkan transaksi jual beli runcit, ADAPTIS e-Commerce untuk keselamatan bayaran dalam talian serta ADAPTIS Financing bagi menyokong perkembangan perniagaan.

“Selain itu, ADAPTIS Enterprise untuk infrastruktur bayaran berskala besar serta ADAPTIS VAS (Perkhidmatan Tambahan) untuk mengoptimumkan operasi perniagaan pelanggan,” tambahnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif NTT DATA Pament Services, Sean Hesh berkata ADAPTIS adalah jawapan pihaknya untuk memenuhi permintaan yang semakin berkembang dalam ekonomi digital.

“Sepanjang berkhidmat untuk Malaysia, Thailand, dan Filipina selama beberapa dekad, dan dengan lebih 500,000 pusat pembayaran di seluruh negara, kami memahami perkara yang diperlukan perniagaan.

“ADAPTIS dicipta untuk fleksibiliti, setempat dan sedia masa depan seterusnya membantu perniagaan meningkatkan skala dengan cekap di samping menyediakan kemudahan pembayaran yang lancar untuk pelanggan,” katanya.

Kemuncak acara pelancaran ADAPTIS adalah kehadiran ahli panel meliputi Ketua Bahagian Bayaran dan Perkhidmatan Global NTT DATA Jepun Shinichiro Nishikawa, Sean Hesh, Ketua Pegawai Eksekutif (Perkhidmatan Bayaran dan e-pay) NTT DATA Payment Services Enoch Chhabra, Ketua Pegawai Eksekutif (Penyelesaian e-Dagang) NTT DATA Payment Services Yuichiro Sato serta Ketua Bahagian Operasi Kumpulan, NTT DATA Payment Services dan Ketua Pegawai Operasi, Paysys, Jeremy Low.

Kalangan pegawai utama itu  membincangkan mengenai “Masa Depan Perdagangan: Daripada Persaingan kepada kolaborasi.”

Sesi perbincangan tersebut merungkai cara NTT DATA Payment Services mengintegrasikan jenama yang sebelum ini bersaing namun kini saling bekerjasama dalam sebuah ekosistem bersepadu, mencipta sinergi dan inovasi yang berskala besar dalam era pembayaran global.

Ketua Bahagian Bayaran dan Perkhidmatan Global, NTT DATA Jepun, Shinichiro Nishikawa menekankan kepentingan perkembangan berstrategik ini.

Beliau berkata masa depan pembayaran bukan hanya sekadar transaksi malah juga berkait dengan ekosistem.

“Dengan mengumpulkan peneraju industri pembayaran Asia di bawah payung NTT DATA Payment Services, kami sebenarnya sedang membina infrastruktur perdagangan serantau yang saling berhubung, bijak dan berdaya tahan.

“ADAPTIS mencerminkan komitmen kami terhadap integrasi yang lancar, penyelesaian setempat dan inovasi berskala besar yang memperkasakan perniagaan di seluruh dunia,” katanya.

Pelancaran ADAPTIS muncul selepas pemerolehan GHL Systems Bhd oleh NTT DATA Jepun pada 2024, menjadikannya anak syarikat milik penuh antara sepuluh perkhidmatan IT global terbaik dunia.

Seiring dengan transformasi strategik ini, syarikat secara rasminya telah dijenamakan semula sebagai NTT DATA Payment Services Sdn. Bhd pada 13 Nov, 2024, selaras dengan visi baharunya di samping mengekalkan taraf perkhidmatan yang tinggi seperti yang diharapkan oleh para usahawan dan perniagaan.

Selepas penampilan pertamanya di Malaysia, rangkaian ADAPTIS akan diperkenalkan di Thailand dan Filipina pada akhir tahun ini, bagi mengukuhkan lagi komitmen NTT DATA Payment Services untuk menyediakan platform pembayaran termaju di rantau ini.

Layari www.nttdatapay.com untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai ADAPTIS.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan