EKONOMI > BERITA

UNIT KERJAYA PROSPEK PEROLEH KONTRAK KERJA RM162 JUTA DI JOHOR

08/05/2025 03:49 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Kerjaya Prospek Group Bhd (Kerjaya) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd (KPM) menerima surat lantikan (LOA) daripada Majestic Gen Sdn Bhd bagi kontrak kerja berjumlah RM162 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Kerjaya berkata kontrak melibatkan tiga lot bangunan di Johor Bharu, Johor.

Menurut makluman itu, ia membabitkan pembangunan pangsapuri servis 47 tingkat yang terdiri daripada satu blok 732 unit, sembilan tingkat tempat letak kereta podium dan satu tingkat tempat letak kereta bawah tanah serta kemudahan mekanikal dan elektrik (M&E).

“(Selain itu), kontrak juga termasuk satu tingkat tempat letak kereta dan kemudahan M&E dengan satu unit komersial dan tiga tingkat kemudahan rekreasi.

“Kontrak akan bermula pada 1 Ogos, 2025 dan tamat dalam tempoh 36 bulan daripada tarikh permulaan kontrak,” katanya.

Menurut kumpulan itu, kontrak tersebut dijangka menyediakan aliran pendapatan tambahan bagi tempoh tiga tahun akan datang dan bakal meningkatkan nilai perolehan kontrak dalam tangan sedia ada. 

“Ia tidak akan memberi kesan kepada modal saham terbitan syarikat, tetapi ia dijangka memberi sumbangan positif kepada perolehan dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 2025 hingga 2028,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kerjaya Tee Eng Tiong berkata ia adalah kontrak pertama yang diperolehi kumpulan itu di Johor pada 2025.

“Secara geografinya, tumpuan kami kekal di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor, kerana kami melihat terdapatnya permintaan yang kukuh dan aktiviti pembangunan yang rancak.

“Dengan peluang kerja terbaharu berjumlah RM162 juta ini, kontrak yang dimenangi tahun ini telah mencecah RM870.3 juta, sekali gus berada di landasan yang tepat bagi mencapai sasaran RM1.6 bilion tahun ini,” katanya.

Beliau berkata nilai perolehan kontrak yang belum selesai kumpulan itu kini berjumlah RM4.6 bilion, menyediakan kejelasan pendapatan yang sihat dan asas yang kukuh untuk meneruskan pertumbuhan bagi empat tahun kewangan akan datang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan