EKONOMI > BERITA

MITI SAMBUT BAIK KAJIAN SEMULA PERATURAN EKSPORT CIP AI WASHINGTON

08/05/2025 09:23 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Malaysia menyambut baik langkah Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk mengkaji semula peraturan eksport cip kecerdasan buatan (AI) memandangkan kejelasan dan konsistensi dalam dasar teknologi penting bagi inovasi global, daya tahan rantaian bekalan dan pertumbuhan yang menyeluruh.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata Malaysia sedang giat bekerjasama dengan rakan dagang utama bagi memastikan akses yang lebih terjamin dan saksama kepada teknologi kritikal menerusi Pusat Tindakan Geoekonomi Negara (NGCC).

"Kami menyokong rangka kerja yang menggalakkan kepercayaan, keselamatan negara dan akses kepada teknologi bagi negara-negara yang bertanggungjawab," kata MITI.

Kementerian itu memberi kenyataan sedemikian berhubung pertanyaan Bernama berkaitan laporan berita bahawa Washington merancang untuk mengkaji semula sekatan eksport AI.

MITI turut menegaskan bahawa sebagai pemain utama dalam ekosistem semikonduktor global, Kerajaan MADANI kekal terbuka kepada kerjasama strategik yang memacu inovasi dan pertumbuhan inklusif.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata langkah yang diambil Amerika Syarikat (AS) untuk mengkaji semula peraturan eksport cip AI akan memberikan manfaat kepada Malaysia, terutamanya kepada industri semikonduktor, sambil menambah bahawa lebih banyak butiran mengenainya akan dikongsi selepas ini.

"Oleh itu, kita menyambut baik langkah ini dan saya rasa apabila saya berbincang dengan pemain industri, mereka juga amat gembira memandangkan Malaysia jelas merupakan destinasi utama, terutamanya mengambil kira teknologi yang kita hasilkan dan yang digunakan di sini semuanya melibatkan cip," katanya dalam sidang media selepas menghadiri acara Malaysia Autoshow (MAS) 2025, MAEPS Serdang, dekat sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata Timbalan Setiausaha Agung MITI (Perdagangan) Mastura Ahmad Mustafa telah mengadakan dua pertemuan dengan wakil perdagangan AS (USTR).

"Kami akan teruskan (pertemuan dengan USTR) dan minggu hadapan, saya akan bertemu dengan USTR Jamieson Greer.

"Saya juga akan ke Korea bagi menghadiri Mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC). Beliau juga berada di sana dan kami akan mengambil kira perkembangan rundingan yang telah dimulakan antara ketua perunding kami dan USTR," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan