EKONOMI > BERITA

MARUBENI CORP, JEPUN BANTU MRO TEMPATAN, YAKIN POTENSI PENERBANGAN MALAYSIA

08/05/2025 10:00 PM

SHAH ALAM, 8 Mei (Bernama) -- Marubeni Corporation (Marubeni) dari Jepun melihat kedudukan Malaysia di tengah-tengah Asia Tenggara sebagai sangat sesuai bagi pembangunan industri penerbangan serantau.

Ketua Pegawai Operasi Bahagian Aeroangkasa dan Mobiliti Marubeni Toru Okazaki berkata persekitaran pasaran bagi perkhidmatan penyelenggaraan dan penanggalan sangat meyakinkan, kerana aliran industri menunjukkan permintaan ke atas penyelenggaraan berat meningkat kepada US$630 million (US$1 = RM4.23) menjelang 2032.

“Dengan persaraan pesawat meningkat sebanyak 7.5 peratus setahun, keperluan bagi perkhidmatan penyelenggaraan dan penanggalan yang berkualiti turut meningkat dengan ketara.

“Persekitaran ini mewujudkan peluang yang banyak kepada perniagaan kami,” katanya ketika berucap pada pelancaran hangar KarbonMRO dan perkhidmatan enjin KarbonMRO di sini, hari ini.

KarbonMRO (KMRO) Services Sdn Bhd merupakan syarikat usahasama antara Dviation Group, peneraju terkemuka dalam penyelesaian teknikal penerbangan dan Marubeni, salah satu konglomerat pelaburan dan perdagangan terbesar di dunia.

Kerjasama strategik itu menandakan peristiwa penting dalam industri penerbangan dan dijangka mengembangkan landskap penerbangan di rantau Asia Pasifik.

Mengulas lanjut, Okazaki berkata dengan menyepadukan perniagaan penerbangan Marubeni, seperti perdagangan alat ganti, pesawat dan pajakan enjin dengan keupayaan KarbonMRO, kumpulan itu boleh mewujudkan ekosistem penerbangan komprehensif yang memberikan nilai lebih baik kepada pelanggan di seluruh Asia.

“Projek ini adalah sejajar dengan visi Marubeni, kerana kami melihat Asia, termasuk Malaysia sebagai rantau penting bagi pelaburan dan pertumbuhan kami.

“Kami komited untuk menyerlahkan kehadiran kami di Asia dan membantu membangunkan industri penerbangan di rantau ini,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Hanafi Sakri berkata KarbonMRO dijangka menjana pendapatan keseluruhan RM160 juta, iaitu RM100 juta daripada penyelenggaran asas dan RM60 juta daripada perkhidmatan enjin, yang memberi manfaat kepada rakyat dan Malaysia.

Pengarah Urusan Dviation Group Kevin Teoh pula berkata KarbonMRO menyasarkan kontrak penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO) sehingga 30 pesawat dalam tempoh setahun. 

“Kami masih di peringkat awal dan hanya menggunakan 10 peratus daripada kemudahan hangar baharu ini,” katanya.

Sementara itu, usaha niaga terkini KarbonMRO itu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab utama MRO di rantau Asia Pasifik, menyediakan penyelesaian penyelenggaraan enjin dan pesawat bertaraf dunia kepada syarikat penerbangan, pengendali dan pemberi pajak. 

Kemudahan hangar yang baharu diubah suai di Skypark RAC, Lapangan Terbang Subang itu boleh memuatkan dua pesawat satu lorong serentak bagi penyelenggaraan dan diperakui oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk melaksanakan penyelenggaraan bagi pesawat jenis Boeing 737 dan Airbus A320.

Selain itu, ia turut dilengkapi sepenuhnya bagi mengendalikan pelbagai perkhidmatan penyelenggaran kerangka pesawat udara, daripada lawatan penyelenggaraan berjadual kepada pembaikan dan pengubahsuaian struktur khusus serta perkhidmatan alat ganti dan penanggalan pesawat.

Ia menjadikan KMRO sebagai butik pesawat di rantau ini, dengan rangkaian penyelesaiannya meliputi keseluruhan pesawat dan kitaran hayat enjin, iaitu sebaik sahaja memulakan perkhidmatan hingga persaraan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan