KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Sektor pembinaan Malaysia pada suku pertama 2025 mencatatkan pertumbuhan nilai kerja pembinaan sebanyak 16.6 peratus tahun ke tahun dengan nilai berjumlah RM42.9 bilion, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata sektor ini mengekalkan momentum menaiknya, meskipun pada kadar yang sederhana berbanding pertumbuhan sebanyak 23.1 pada suku sebelum itu.
"Prestasi ini didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan dalam subsektor aktiviti pertukangan khas dan bangunan kediaman yang masing-masing merekodkan pertumbuhan dua digit sebanyak 35.5 peratus dan 27.0 peratus.
"Subsektor bangunan bukan kediaman turut mencatatkan peningkatan kukuh sebanyak 21.0 peratus, manakala subsektor kejuruteraan awam kekal mencatatkan pertumbuhan positif pada kadar yang sederhana, sebanyak 3.7 peratus," katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata daripada keseluruhan nilai kerja sebanyak RM42.9 bilion yang dicatatkan pada suku pertama 2025, sejumlah RM15.7 bilion atau 36.6 peratus disumbangkan oleh subsektor kejuruteraan awam, terutamanya dalam aktiviti pembinaan jalan raya dan landasan kereta api (RM7.9 bilion) dan projek utiliti (RM6.0 bilion).
Sementara itu, nilai kerja pembinaan bagi bangunan bukan kediaman dan bangunan kediaman masing-masing sebanyak RM12.3 bilion (sumbangan: 28.8 peratus) dan RM9.9 bilion (sumbangan: 23.0 peratus).
"Aktiviti pertukangan khas pula menyumbang sebanyak RM5.0 bilion (sumbangan: 11.6 peratus), terutamanya dalam aktiviti penyediaan tapak (RM1.3 bilion); pemasangan elektrik (RM1.2 bilion); dan pemasangan paip, pemanasan dan pendingin hawa (RM1.1 bilion)," katanya.
Mengulas mengenai sektor pembinaan, Mohd Uzir berkata sektor swasta kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan pada suku ini, dengan peningkatan sebanyak 23.7 peratus, didorong oleh aktiviti pertukangan khas (40.9 peratus) dan bangunan kediaman (26.5 peratus).
"Nilai kerja bagi sektor swasta berjumlah RM27.0 bilion atau 62.9 peratus daripada jumlah nilai kerja pembinaan.
"Sebaliknya, nilai kerja bagi sektor awam mencapai RM15.9 bilion atau 37.1 peratus, yang mencatatkan pertumbuhan yang lebih perlahan sebanyak 6.3 peratus, berbanding 8.8 peratus pada suku keempat 2024," katanya.
Beliau berkata pertumbuhan ini didorong oleh subsektor bangunan kediaman (34.8 peratus) dan aktiviti pertukangan khas (24.5 peratus), dengan masing-masing berjumlah RM0.7 bilion dan RM1.5 bilion.
Sementara itu, sektor pembinaan mengikut negeri menunjukkan hampir 63.4 peratus daripada nilai kerja tertumpu di Selangor, Johor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) dan Sarawak.
Selangor mendahului nilai kerja tertinggi berjumlah RM11.1 bilion atau 25.9 peratus, diikuti Johor sebanyak RM7.7 bilion (18.0 peratus), Wilayah Persekutuan sebanyak RM4.5 bilion (10.6 peratus), dan Sarawak mencatatkan RM3.9 bilion (9.0 peratus).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial