EKONOMI > BERITA

PERTEMUAN DENGAN PUTIN PELUANG UNTUK PERDANA MENTERI DAPATKAN GAMBARAN LEBIH JELAS MENGENAI KEANGGOTAAN PENUH BRICS

14/05/2025 12:18 AM

Daripada Sharifah Hunaini Syed Ismail

MOSCOW, 13 Mei (Bernama) -- Pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Rusia Vladimir Putin akan membantu Malaysia memperoleh pemahaman yang lebih jelas tentang bagaimana ia boleh beralih daripada menjadi negara rakan kongsi kepada anggota penuh BRICS.

Ini adalah pandangan daripada Duta Besar Malaysia ke Rusia Datuk Cheong Loon Lai pada Isnin.

Beliau berkata walaupun Malaysia diterima blok itu sebagai negara rakan kongsi pada 1 Januari tahun ini, organisasi itu masih belum menentukan dengan jelas proses terhadap negara rakan kongsi yang boleh menjadi anggota penuh BRICS.

Cheong berkata status Malaysia dalam BRICS boleh menjadi antara topik utama akan dibincangkan antara Anwar dan Putin semasa pertemuan mereka yang dijadualkan pada petang esok (Selasa).

"Itu adalah salah satu janji (yang dibuat) di mana kita (Malaysia) akan menjadi anggota penuh daripada status negara rakan kongsi," katanya kepada media Malaysia yang membuat liputan lawatan rasmi Anwar ke Rusia mulai hari ini.

"Setakat ini, saya diberitahu bahawa masih tiada apa-apa yditakrifkan dari segi mekanisme atau bagaimana mereka akan melakukannya.

"Tiada rangka kerja jelas mengenai status itu atau bagaimana ia boleh membawa kepada keaggotaan penuh. Ini adalah sesuatu yang perlu diselesaikan oleh anggota BRICS sendiri," katanya.

Cheong berkata Putrajaya amat menghargai penerimaan BRICS terhadap Malaysia sebagai negara rakan kongsi.

Malaysia secara rasmi menjadi negara rakan kongsi BRICS pada 1 Januari, 2025, berikutan Sidang Kemuncak BRICS ke-16 yang diadakan di Kazan pada Oktober 2024 ketika Rusia mempengerusikan kumpulan itu.

BRICS terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan, Mesir, Ethiopia, Indonesia, Iran dan Emiriah Arab Bersatu.

Lawatan rasmi Anwar ke Rusia bermula di Moscow hari ini sehingga 16 Mei.

Perdana Menteri dijadual bertemu Perdana Menteri Rusia Mikhail Mishustin, esok.

Pada 15 Mei ini, beliau akan ke Kazan, Republik Tatarstan untuk menghadiri Forum Ekonomi Antarabangsa “Russia-Islamic World: KazanForum” ke-16.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan