EKONOMI > BERITA

TINJAUAN PROPERTYGURU DEDAH 77 PERATUS RAKYAT MALAYSIA AMBIL KIRA RISIKO IKLIM APABILA BELI RUMAH

14/05/2025 05:52 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Data daripada tinjauan PropertyGuru 2024 menunjukkan 77 peratus daripada rakyat Malaysia mengambil kira risiko iklim apabila membeli rumah.

Ketua Kelestarian PropertyGuru Group Cecile Corda berkata syarikat melihat keselamatan dan kesejahteraan komuniti semakin berisiko berikutan kekerapan kejadian cuaca ekstrem yang meningkat, memberi impak besar terhadap hartanah.

“Itulah sebabnya kami menyertakan analisis risiko iklim dalam platform kami,” katanya pada taklimat media di sini hari ini.

Sebagai sebahagian daripada tinjauan di Malaysia, Corda berkata PropertyGuru menyediakan maklumat mengenai bencana yang berlaku sebelum ini seperti banjir dan tanah runtuh untuk membantu membuat keputusan tepat dalam membeli rumah.

“Kami turut bekerjasama dengan organisasi yang menyediakan analisis berkaitan risiko iklim untuk memberikan penilaian mengenai risiko iklim,” katanya.

Hari ini, PropertyGuru mengeluarkan Laporan Kelestarian 2024 daripada tinjauan yang dijalankan pada separuh kedua 2024, dengan maklum balas daripada 1,181 rakyat Malaysia.

Menjelang 2050, dijangka hampir 63 peratus daripada penduduk Asia Tenggara akan tinggal di kawasan bandar dan laporan itu menunjukkan PropertyGuru memanfaatkan data, teknologi digital dan kerjasama strategik bagi mencetuskan perubahan positif dalam ekosistem perumahan.

Berdasarkan tinjauan tersebut, sebanyak 83 peratus rakyat Malaysia bersedia untuk membayar harga premium demi memiliki rumah dengan ciri-ciri lestari — termasuk penjimatan kos utiliti, ketahanan terhadap risiko iklim dan nilai jangka panjang.

Dengan 32 juta lawatan bulanan daripada pencari hartanah dan 50,000 ejen aktif di seluruh rantau, PropertyGuru terus memperkenalkan inovasi digital dan analisis data bagi menangani cabaran pasaran perumahan secara langsung.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia Kenneth Soh berkata kawasan seperti Kota Emerald, Rawang, Selangor; Kuah, Langkawi, Kedah dan Ulu Kelang mencatatkan peningkatan lebih 100 peratus dalam carian tahunan, didorong oleh faktor kemampuan memiliki hartanah dan nilai. 

“Data kami menunjukkan perubahan yang jelas dalam rakyat Malaysia mencari rumah. Ini mencerminkan kebimbangan yang meningkat dalam kalangan pembeli terutamanya mereka yang berumur 25 hingga 34 tahun dan 60 peratus daripada mereka percaya harga akan terus meningkat.

“Untuk memenuhi permintaan ini, industri bukan sahaja perlu memberi tumpuan kepada kemampuan untuk membeli malah, perlu memikirkan semula bagaimana ciri-ciri mampan dapat disepadukan dalam segmen pasaran pertengahan dan sewaan,” katanya.

Soh turut menekankan masa depan perumahan di Malaysia bergantung pada seberapa cepat penggubal dasar dan pemaju dapat menjadikan kehidupan mampan pilihan realistik untuk majoriti, bukan hanya golongan premium.

“PropertyGuru kekal komited untuk memainkan peranan aktif dengan menyediakan maklumat yang relevan, mempromosikan perumahan inklusif dan menyokong inisiatif yang menjadikan kehidupan lestari lebih mudah diakses oleh semua,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan