EKONOMI > BERITA

ANWAR, PUTIN SUARAKAN HASRAT BERSAMA PERKUKUH PERDAGANGAN, PELABURAN

15/05/2025 12:00 AM

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Malaysia dan Rusia menyatakan hasrat bersama untuk memperkukuh perdagangan dan pelaburan sekali gus menandakan lembaran baharu dalam hubungan dua hala Malaysia-Rusia yang semakin berkembang.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata walaupun hubungan antara kedua-dua negara berjalan dengan baik namun, masih terdapat potensi besar yang belum diterokai seperti dalam bidang perdagangan, pelaburan dan kerjasama.

“Itu sebabnya saya memilih untuk datang ke sini sebagai tetamu beliau,” kata Anwar pada sidang media bersama Presiden Rusia Vladimir Putin di Moscow, Rusia, hari ini.

Perdana Menteri menyambut baik sokongan Rusia dalam sektor utama seperti latihan; aeroangkasa; sains, teknologi dan inovasi (STI); Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET); pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI).

“Kami berterima kasih kerana Presiden Putin menganggap Malaysia sebagai rakan yang dipercayai dan sebagai sebuah negara dengan sokongan sedemikian boleh dihulurkan,” kata beliau.

Anwar menyatakan minat Malaysia untuk bekerjasama dengan Rusia dalam bidang semikonduktor dan AI, memandangkan kepentingan sektor itu bagi memacu pertumbuhan ekonomi masa hadapan.

Beliau berkata kedua-dua pemimpin juga telah membincangkan isu antarabangsa yang lebih luas dan menekankan kepentingan sistem multilateral berasaskan peraturan.

“Kita tidak menyokong tindakan unilateral oleh mana-mana negara, kerana tindakan sedemikian menganggu keamanan dan keselamatan, sama ada di rantau kita atau di peringkat global,” kata beliau.

Putin pula berkata: “Kami memberi keutamaan kepada pembangunan seterusnya dalam perdagangan dan pelaburan”, merujuk kepada skop kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

Pada 2024, Rusia ialah rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah dengan jumlah dagangan mencecah RM11.46 bilion (US$2.48 bilion).

Eksport utama Malaysia ke Rusia termasuk produk elektrik dan elektronik, jentera, peralatan dan alat ganti, serta makanan yang diproses.

Import dari Rusia terutama terdiri daripada produk petroleum, mineral serta kimia dan produk berasaskan kimia.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan