EKONOMI > BERITA

MALAYSIA CATAT LEBIHAN IMBANGAN AKAUN SEMASA BERJUMLAH RM16.7 BILION PADA SUKU PERTAMA 2025 - PERANGKAAN

16/05/2025 03:18 PM

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Malaysia merekodkan lebihan Imbangan Akaun Semasa (CAB) sebanyak RM16.7 bilion pada suku pertama 2025 bersamaan dengan 3.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ia berkata peningkatan itu disokong terutamanya oleh eksport bersih barangan dan defisit yang lebih kecil dalam pendapatan sekunder.

Dalam satu kenyataan, Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata lebihan pada suku tahun ini itu didorong oleh eksport bersih barangan berjumlah RM38.5 bilion.

"Eksport barangan mencecah RM283.2 bilion, mewakili penurunan sebanyak 4.0 peratus berbanding suku tahun sebelumnya. Eksport utama barangan dari Malaysia adalah elektrik dan elektronik, produk petroleum dan jentera, kelengkapan dan  peralatan dengan permintaan tinggi daripada rakan dagang terutamanya Singapura, Amerika Syarikat (AS) dan China," katanya.

Mohd Uzir berkata import barangan menurun sebanyak 5.2 peratus tahun ke tahun kepada RM244.7 bilion, terutamanya disebabkan oleh pengurangan import barangan perantaraan, barangan modal dan barangan penggunaan.

Sumber utama import bagi Malaysia termasuk China, Singapura dan Taiwan, katanya.

DOSM berkata CAB yang lebih tinggi adalah disebabkan defisit yang lebih kecil akaun pendapatan sekunder sebanyak RM1.2 bilion pada suku pertama 2025 berbanding RM5.9 bilion pada suku sebelumnya, didorong oleh peningkatan penerimaan bayaran dari luar negeri.

Akaun kewangan mencatatkan aliran keluar bersih yang lebih tinggi berjumlah RM20.3 bilion berbanding RM9.3 bilion pada suku sebelumnya, didorong oleh peningkatan ketara dalam pelaburan portfolio, katanya.

Pelaburan ini merekodkan aliran keluar bersih RM48.3 bilion, meningkat daripada RM42.0 bilion pada suku sebelumnya, yang disumbangkan oleh langganan sekuriti ekuiti asing oleh residen Malaysia.

Menurut DOSM, pelaburan langsung asing (FDI) mencatatkan aliran masuk bersih RM15.6 bilion pada suku pertama 2025, menurun daripada RM18.7 bilion pada suku sebelumnya disebabkan oleh pelaburan yang lebih rendah dalam bentuk instrumen hutang.

Ia berkata aliran masuk FDI sebahagian besarnya disalurkan ke sektor perkhidmatan, khususnya dalam subsektor aktiviti kewangan dan maklumat dan komunikasi, terutamanya berkaitan aktiviti pusat data.

Pelabur utama FDI adalah dari Singapura, Hong Kong dan Jerman, katanya.

Pada masa yang sama, pelaburan langsung di luar negeri (DIA) mencatatkan aliran keluar bersih yang lebih rendah RM3.5 bilion berbanding RM5.2 bilion pada suku keempat 2024.

Aliran keluar ini terutamanya dalam bentuk ekuiti dan saham dana pelaburan yang kebanyakannya disalurkan ke sektor perkhidmatan, dengan tumpuan utama dalam aktiviti kewangan.

Indonesia, Brunei Darussalam dan Thailand merupakan destinasi utama DIA bagi suku ini, kata DOSM.

Pada akhir suku pertama 2025, kedudukan pelaburan antarabangsa merekodkan aset bersih sebanyak RM37.8 bilion, manakala rizab antarabangsa berjumlah RM520.7 bilion setakat akhir Mac 2025.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan