EKONOMI > BERITA

KDNK SUKU PERTAMA MENGGALAKKAN, PROSPEK 2025 KEKAL DIPENGARUHI KETIDAKTENTUAN GLOBAL

16/05/2025 10:18 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Malaysia merekodkan pertumbuhan ekonomi suku pertama 2025 yang memberangsangkan sekali gus mengatasi prestasi beberapa negara rakan serantau.

Bagaimanapun, kalangan pakar ekonomi mengingatkan bahawa tarif yang tinggi, gangguan rantaian bekalan, pelaburan tertunda dan ketidaktentuan keseluruhan boleh menjejaskan trajektori pertumbuhan negara.

Tarif “Hari Pembebasan” oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump telah meningkatkan ketegangan perdagangan global di samping menimbulkan ketakutan dalam pasaran dan kalangan pelabur namun, asas ekonomi Malaysia yang pelbagai dan asas-asas kukuh akan melindungi negara daripada kejutan luaran yang buruk.

Profesor ekonomi Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng berkata pertumbuhan Malaysia pada 4.4 peratus bagi suku pertama sememangnya dalam jangkaan.

Beliau berkata kadar itu lebih pantas daripada 4.2 peratus yang dicatatkan pada suku sama tahun lepas, dan walaupun lebih perlahan berbanding 4.9 peratus yang direkodkan pada suku keempat 2024.

“Berbanding dengan negara rakan serantau kita, pertumbuhan suku pertama Malaysia adalah lebih tinggi daripada Singapura dan Thailand, tetapi kurang daripada Vietnam yang kukuh pada 6.9 peratus dan Filipina pada 5.4 peratus.

“Memandangkan status negara kita berpendapatan sederhana atas, prestasi ini mencerminkan daya tahan ekonomi yang agak baik,” katanya kepada Bernama.

Yeah berkata ekonomi Malaysia yang pelbagaian, permintaan domestik berdaya tahan dan keadaan makroekonomi yang menggalakkan -- termasuk inflasi yang rendah, kestabilan pasaran buruh dan aliran kredit -- sewajarnya membantu mengurangkan kejutan luaran.

Bagaimanapun, beliau berpandangan, memandangkan ketidaktentuan global yang berterusan, Malaysia mungkin mencatatkan paras terendah dalam unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setahun penuh oleh kerajaan iaitu antara 4.5 hingga 5.5 peratus.

Sementara itu, Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah, Dr Nungsari Ahmad Radhi juga senada dengan Yeah mengenai kebimbangan itu.

Walaupun prestasi suku pertama 2025 Malaysia adalah memberangsangkan berbanding negara jiran Singapura pada 3.8 peratus dan Thailand pada 2.9 peratus, angka itu masih mengekori pertumbuhan Indonesia pada 4.8 peratus, katanya.

“Keadaan global berubah dengan ketara pada April, terutama selepas tarif AS yang menjejaskan 168 negara termasuk Malaysia, yang kini telah ditangguhkan selama 90 hari," katanya.

Beliau berkata “ini telah secara berstruktur telah mengubah landskap perdagangan sepanjang tahun ini.”

Nungsari mengingatkan bahawa perubahan dasar tarif AS-China boleh mengganggu rantaian bekalan dan aliran pelaburan, terutama dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang bergantung kepada eksport Malaysia.

“Kesemua ketidaktentuan ini boleh melembapkan momentum ekonomi -- bukan sahaja melalui harga pengguna yang lebih tinggi disebabkan oleh tarif, malah juga melalui keputusan pelaburan tertunda apabila kalangan syarikat mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

“Penjajaran semula dasar perdagangan AS boleh menjejaskan Malaysia melalui dua saluran: perdagangan langsung dengan AS, khususnya perdagangan intra-industri yang melibatkan firma Amerika, dan kesan tidak langsung ke atas pembekal tempatan yang terikat dalam rantaian nilai yang sama,” katanya.

Bagi separuh kedua 2025, Nungsari berkata kelembapan ekonomi global dijangka memberi tekanan lanjut terhadap prestasi perdagangan Malaysia dan trajektori pertumbuhan keseluruhan.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menyifatkan pertumbuhan Malaysia pada suku pertama 2025 sebagai “sederhana” namun, disokong oleh permintaan domestik dan eksport bersih, yang masing-masing meningkat 6.0 peratus dan 19.6 peratus.

Beliau berkata keputusan terkini Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengurangkan Keperluan Rizab Berkanun sebanyak 100 mata asas -- menyuntik mudah tunai RM19 bilion ke dalam sistem perbankan -- serta peningkatan jaminan kerajaan bagi pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) merupakan langkah proaktif untuk mengatasi cabaran luaran.

“Dasar-dasar ini penting kerana keadaan masih tidak menentu. Tindak balas ekonomi yang khusus diperlukan untuk membantu ekonomi menyerap kejutan dan mengekalkan keyakinan perniagaan,” kataya.

Awal hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.4 peratus pada suku pertama 2025, didorong oleh perbelanjaan isi rumah yang mampan disokong oleh keadaan pasaran buruh yang menggalakkan serta dasar kerajaan.

Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata prestasi suku pertama itu turut disokong oleh aktiviti pelaburan yang stabil dan pertumbuhan eksport berterusan, terutama dalam sektor elektrik dan elektronik serta pelancongan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan