Oleh Mohd Noor Azeery Idris dan NurulJannah Kamaruddin
KUALA LUMPUR, 18 Mei (BERNAMA) -- Peneraju air mineral beroksigen tempatan, Bubbles O2 Sdn Bhd merancang untuk menembusi pasaran rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) serta ASEAN, dikenal pasti mempunyai jurang signifikan dalam penawaran produk halal.
Pengarah Urusannya, Ain Azizah Arifin berkata langkah ini merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang syarikat untuk menembusi pasaran serantau dan global yang semakin terbuka kepada produk halal.
Beliau berkata rantau MENA kini menunjukkan perubahan ketara, semakin banyak negara membuka peluang kepada import produk halal, sekali gus mewujudkan lebih banyak pasaran baharu untuk diteroka.
"Kami melihat banyak peluang di rantau MENA yang kini mula terbuka dan dalam masa yang sama terdapat jurang ketara bagi penawaran produk-produk halal," katanya dalam program ‘Bual Bisnes’ terbitan Bernama TV disiarkan pada Sabtu.
Ain Azizah berkata fokus ASEAN adalah pada negara-negara jiran terdekat dengan Malaysia.
“Terdapat peningkatan permintaan di kalangan negara-negara ASEAN terhadap produk kesihatan berasaskan gaya hidup.
“Ini berikutan kesedaran yang semakin meningkat tentang manfaat kesihatan air beroksigen,” katanya.
Menurutnya, Bubbles O2 sudah mula mendapat tempat di pasaran Brunei dan Dubai sejak 2024 dan sambutan diterima amat menggalakkan.
Menerusi strategi eksport, syarikat itu berharap dapat memperkukuhkan jenama dan operasi serta membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa dalam industri minuman mineral, katanya.
Justeru, bagi menyokong aspirasi itu, syarikat sedang giat mengembangkan operasi serta tenaga kerja.
"Sejak kami mendapat bantuan daripada beberapa pelabur, kami berjaya meningkatkan tahap pengoptimuman kami kepada 70 peratus pada tahun lalu.
"Kalau dilihat...kilang di Rantau, Negeri Sembilan sebelum ini, kami hanya mempunyai satu barisan pengeluaran. Alhamdulillah, sekarang kami sudah ada dua barisan pengeluaran khusus untuk saiz 425 mililiter (ml) dan 800 ml. Dari situ, kami dapat meningkatkan pengoptimuman sistem dan mesin-mesin yang ada," kata Ain Azizah.
Seiring dengan pertumbuhan operasi, beliau menyasarkan pertumbuhan menyeluruh, merangkumi jualan, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan serta anak-anak muda di Rantau dan Pedas, Negeri Sembilan.
Bagi mengukuhkan kepercayaan pelanggan, syarikat juga sentiasa mematuhi piawaian ditetapkan mengikut persijilan Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP), Amalan Perkilangan Baik (GMP) serta Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) untuk mengekalkan kualiti produk mengikut standard dalam dan luar negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial