KEPALA BATAS, 17 Mei (Bernama) -- Trensor Co Ltd, pengeluar sensor tekanan terkemuka China, melabur sebanyak RM100 juta untuk membina kemudahan pembuatan pertamanya di Taman Teknologi Pulau Pinang di Bertam, di sini.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata kemudahan empat tingkat itu, berkeluasan 10,000 meter persegi, dijangka mencipta 200 pekerjaan mahir dan menjana lebih RM200 juta dalam jualan tahunan.
"Setahun lepas, saya telah dikunjungi oleh pasukan pengurusan Trensor di pejabat saya, tidak lama selepas mereka memutuskan untuk menubuhkan kilang luar negara pertama mereka di Pulau Pinang. Hari ini, kita berkumpul untuk menyaksikan strategi itu direalisasikan," katanya dalam ucapannya pada majlis pecah tanah hari ini.
Trensor adalah salah satu pengeluar penderia tekanan terkemuka di China, pengkhususan dalam penderia tekanan automotif menerusi anak syarikatnya yang berpangkalan di Malaysia, Trensor Electronics Sdn Bhd.
Turut hadir pada majlis itu ialah Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Hong Mooi Lye, Pengerusi Trensor Zhou Jingxun dan Pengurus Besar Trensor Electronics Stephen Zhou Wenbo.
Chow berkata Trensor Electronics, ditubuhkan pada 2024, memfokuskan pada pembuatan penderia tekanan, komponen kritikal dalam elektronik automotif dan akan menyokong pengembangan Trensor ke dalam pasaran automotif Asia Tenggara yang semakin berkembang.
“Ia akan memberi tumpuan kepada pengeluaran penderia tekanan automotif untuk dieksport ke pasaran seperti Amerika Utara dan Eropah,” katanya.
Beliau berkata pelaburan itu akan mengukuhkan ekosistem industri elektrik dan elektronik (E&E) Pulau Pinang, seterusnya menjadikan negeri itu sebagai hab untuk kejuruteraan ketepatan, elektronik automotif dan pembuatan bernilai tinggi.
Sementara itu, Chow berkata industri semikonduktor global kekal sebagai pemacu utama kemajuan teknologi dengan permintaan didorong oleh inovasi dalam kecerdasan buatan (AI), 5G, kenderaan elektrik dan Internet Pelbagai Perkara (IoT).
Beliau berkata walaupun dalam persekitaran perkembangan geopolitik ketika ini, sektor itu masih dijangka berkembang dalam jangka panjang dengan anggaran mencadangkan nilai pasaran semikonduktor global boleh mencecah US$1 trilion (US$1=RM4.29) menjelang 2030.
Pulau Pinang terus memainkan peranan penting dalam industri E&E Malaysia, kata Chow.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial