EKONOMI > BERITA

UNTUNG BERSIH JOHOR PLANTATIONS NAIK KEPADA RM75.93 JUTA PADA SUKU PERTAMA 2025

19/05/2025 09:55 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Johor Plantations Group Bhd (JPG) mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM75.93 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2025 berbanding RM49.97 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.

 Lonjakan dalam untung bersih itu disumbangkan oleh harga minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit yang lebih tinggi, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Hasil naik kepada RM340.43 juta pada suku pertama 2025 daripada RM294.91 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.

"Sementara itu, pendapatan sesaham pada suku tersebut naik kepada 3.04 sen daripada 2.45 sen setahun lepas," kata JPG dalam satu kenyataan hari ini.

JPG berkata penghantaran MSM bagaimanapun menyusut kepada 56,203 tan pada suku pertama 2025, daripada 62,925 tan pada 2024 manakala isirung sawit turun sebanyak 4.6 peratus, seiring dengan trend industri.

Prestasi kewangan kekal kukuh, walaupun jumlah pengeluaran lebih rendah, disokong oleh kenaikan 22.2 peratus dalam purata harga jualan MSM, lonjakan 65.2 peratus dalam harga jualan isirung sawit, serta premium harga jualan yang lebih tinggi dalam tempoh tersebut.

“Purata harga jualan MSM kumpulan ialah RM4,969 satu tan, mencerminkan premium sebanyak RM236 satu tan berbanding purata harga Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

“Isirung sawit juga mencatatkan premium, dengan harga purata RM3,898 satu tan, iaitu RM269 lebih tinggi daripada harga rujukan MPOB,” katanya.

Bagi suku tersebut, JPG turut mengisytiharkan dividen interim sebanyak 1.00 sen sesaham yang akan dibayar pada 24 Jun 2025.

Kumpulan itu kekal optimis secara berhati-hati terhadap perancangan operasi dan disiplin pengeluarannya bagi mengekalkan prestasi yang kukuh, di sebalik paras stok yang tinggi dan pemulihan permintaan.

“Walaupun harga MSM dijangka terus berdepan tekanan dalam jangka pendek akibat ketidaktentuan global, kumpulan mengekalkan prospek yang berhemah dan berada pada kedudukan strategik untuk meraih nilai apabila asas pasaran mengukuh dalam suku-suku akan datang,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan