GEORGE TOWN, 21 Mei (Bernama) -- Bukit Kayu Hitam ICD Sdn Bhd (BKH ICD) dan Penang Port Sdn Bhd telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk membentuk perkongsian strategik yang mensasarkan peningkatan kecekapan serta ketersambungan ekosistem perdagangan di utara Malaysia.
Penang Port melalui satu kenyataan berkata MoU itu telah dimeterai pada 14 Mei lepas, menandakan komitmen yang kukuh oleh dua pemain utama dalam rangkaian logistik di rantau ini untuk memacu kemajuan dan membuka peluang baharu.
"Mou ini menggariskan komitmen antara BKH ICD, fasilitator perdagangan rentas sempadan yang diiktiraf di sempadan Malaysia-Thailand, dan Penang Port, selaku pintu masuk di wilayah utara untuk bekerjasama dengan berkesan.
"Matlamatnya adalah untuk memanfaatkan kekuatan serta kepakaran masing-masing, yang telah diasah melalui kejayaan dalam operasi selama bertahun-tahun, bagi meningkatkan aliran barangan, menyelaraskan proses dan akhirnya memberikan nilai yang lebih besar kepada perniagaan yang beroperasi di dalam atau yang melalui utara Malaysia," kata kenyataan itu.
Penang Port berkata BKH ICD telah membina reputasi sebagai pemboleh utama perdagangan antarabangsa, yang menawarkan penyimpanan yang dikawal kastam, pengendalian kontena yang cekap dan penyelesaian pergudangan yang komprehensif di Bukit Kayu Hitam Gateway.
Kedua-dua pihak berhasrat untuk mewujudkan rantaian nilai logistik yang lebih bersepadu dan responsif dengan memupuk kerjasama yang lebih rapat.
"Faedah yang bakal dinikmati termasuk masa transit yang lebih pendek, kecekapan operasi yang lebih baik selain pembangunan penyelesaian inovatif untuk memenuhi keperluan yang berkembang dari komuniti perdagangan," katanya.
MoU itu juga meletakkan asas ke arah kerjasama masa depan dan pembangunan bersama, mencerminkan komitmen bagi membuka dialog serta pertukaran amalan terbaik, pada masa yang sama, kedua -dua pihak akan mengekalkan kebebasan termasuk keupayaan mereka untuk mencari perkongsian yang lain.
"Ia terus menggariskan visi bersama untuk rangka kerja logistik yang lebih diselaraskan dan saling berkaitan di utara Malaysia, akhirnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serantau," katanya lagi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial