EKONOMI > BERITA

FUTURISE, MIGHT PERKENAL LAPORAN RANGSANG EKOSISTEM MOBILITI UDARA MALAYSIA

21/05/2025 07:20 PM

LANGKAWI, 21 Mei (Bernama) -- Futurise Sdn Bhd dan Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) telah melancarkan laporan industri Kemajuan Mobiliti Udara (AAM), satu langkah strategik ke hadapan dalam membentuk masa depan ekosistem pergerakan udara Malaysia dengan memanfaatkan inovasi. pengawalseliaan yang berpandangan jauh serta kepakaran industri bagi memacu pertumbuhan yang mampan.

Bersempena dengan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025, satu kenyataan bersama yang memetik Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Futurise, Shafinaz Salim berkata laporan AAM itu menggariskan inisiatif kemajuan mobiliti udara Malaysia dan meneroka cabaran yang dihadapi oleh pihak-pihak berkepentingan industri. 

"Ia juga menyediakan pandangan jangka panjang untuk industri dalam tempoh 20 tahun akan datang termasuk menawarkan cadangan strategik bagi mengintegrasikan AAM ke dalam agenda pembangunan masa depan negara," katanya sambil menambah bahawa pembangunan global AAM yang pesat menunjukkan potensi pasaran yang signifikan.

Menurut kenyataan itu, pada 2022, pasaran AAM global dinilaikan pada US$8.15 bilion dan dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan kompaun tahunan (CAGR) sebanyak 24.6 peratus dari 2023 hingga 2035, mencerminkan kesan transformatifnya. 

"Di Malaysia, AAM membentangkan manfaat ekonomi yang besar. Antara 2021 hingga 2040, pengenalan AAM dijangka menyumbang tambahan pendapatan berjumlah RM70 bilion, mewakili 1.9 peratus daripada angka pendapatan negara. 

"Sektor ini juga diunjurkan menyumbang nilai tambah RM34 bilion kepada ekonomi, bersamaan dengan 2.3 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK)," katanya.

Dari perspektif penjanaan pendapatan, aktiviti AAM dapat menyuntik RM14 bilion dalam bentuk upah, menyumbang 2.3 peratus daripada jumlah pendapatan negara, ini memberi manfaat kepada pekerja yang terlibat dalam pembangunan dan operasi infrastruktur. 

Unjuran ini menyerlahkan potensi AAM sebagai pemangkin bagi pertumbuhan ekonomi baharu, produktiviti yang dipertingkatkan dan penciptaan pekerjaan berkualiti tinggi.

Shafinaz seterusnya menjelaskan peningkatan pelaburan dari syarikat, kapitalis modal teroka dan kerajaan mencerminkan potensi ekonomi sektor itu.

Bagaimanapun, beliau berkata beberapa cabaran masih ada seperti jurang infrastruktur, rangka kerja undang-undang dan dasar yang sudah lapuk serta kekangan bakat. 

"Usaha mengatasi halangan ini adalah penting untuk membuka potensi penuh AAM dan meletakkan Malaysia sebagai pemimpin serantau dalam mobiliti udara generasi akan datang. AAM bukan sekadar mengubah sistem pengangkutan, ia mengenai usaha melahirkan industri baharu, memacu inovasi dan menjana peluang pekerjaan. 

"Sebagai Sekretariat kepada jawatankuasa pemandu AAM, Futurise secara proaktif bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk membangunkan dokumen Konsep Operasi (ConOps) di bawah inisiatif ”sandbox"” pengawalseliaan. Pelaksanaan awal akan meletakkan Malaysia sebagai pendahulu serantau dalam pergerakan generasi akan datang dan meningkatkan daya saing global kita," katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT Rushdi Abdul Rahim berkata laporan tersebut meneroka peluang serta kekangan dalam persekitaran semasa, terutamanya di kawasan bandar dan kawasan yang kurang mendapat perhatian.

"Sebagai tambahan untuk mengukuhkan pemahaman tentang subjek serta pemetaan senario masa depan, laporan itu juga menyoroti kesannya terhadap ekosistem yang menyokong, termasuk insentif kewangan, infrastruktur dan institusi, rangka kerja perundangan dan dasar, pembangunan bakat serta teknologi dan inovasi," katanya.

Beliau menambah bahawa kerjasama ini dijangka membuka jalan bagi rangka kerja pengawalseliaan yang dinamik serta boleh disesuaikan, merangsang ekosistem inovasi teknologi yang pesat berkembang dan meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan secara menyeluruh. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan