EKONOMI > BERITA

PETRONAS CHEMICALS CATAT KERUGIAN BERSIH SUKU PERTAMA RM18 JUTA MESKIPUN PEROLEHAN TINGGI

21/05/2025 07:37 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM18 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (S1 2025).

Petronas Chemicals menerusi makluman kepada Bursa Malaysia berkata ini disebabkan antara lainnya kerugian pertukaran asing yang tidak direalisasi dan impak pertukaran asing bersih yang rendah walaupun mencatatkan hasil lebih tinggi sebanyak RM7.66 bilion.

Kumpulan itu mencapai keuntungan sebanyak RM668 juta dan perolehan RM7.50 bilion pada Suku Pertama  2024.

“Pendapatan lebih tinggi pada suku semasa itu disumbang terutamanya daripada volum jualan yang lebih tinggi, sebahagiannya diimbangi oleh pengukuhan ringgit berbanding dolar AS.

“Penurunan keuntungan bersih disebabkan terutamanya oleh kerugian pertukaran asing yang tidak direalisasi atas penilaian semula pinjaman pemegang saham kepada entiti operasi bersama, pendapatan kewangan lebih rendah akibat daripada pelarasan masa untuk pembayaran pemiutang perdagangan pada suku sebelumnya dan impak pertukaran asing bersih yang tidak menggalakkan daripada segmen kepakaran,” katanya.

Petronas Chemicals berkata kadar penggunaan loji yang lebih tinggi sebanyak 94 peratus direkodkan berbanding 87 peratus pada suku yang sama sebelumnya berikutan prestasi yang bertambah baik serta aktiviti pemulihan dan penyelenggaraan loji berkanun yang lebih rendah, terutamanya daripada segmen baja dan metanol (F&M), membawa kepada pengeluaran lebih tinggi.

Mengenai prospek masa depan, kumpulan itu berkata hasil operasinya dipengaruhi terutamanya oleh keadaan ekonomi global dan harga produk petrokimia, yang mempunyai perkaitan tinggi dengan harga minyak mentah, khususnya untuk segmen olefin dan derivatif (O&D), kadar penggunaan kemudahan pengeluaran dan pergerakan kadar pertukaran asing.

“Penggunaan kemudahan pengeluaran kami adalah bergantung kepada aktiviti penyelenggaraan loji dan ketersediaan bahan mentah serta bekalan utiliti yang mencukupi.

"Kumpulan akan meneruskan program kecemerlangan operasinya dan pengurusan perhubungan pembekal untuk mengekalkan tahap penggunaan loji mengatasi penanda aras industri," katanya.

Petronas Chemicals menjangkakan harga produk O&D akan dipengaruhi oleh implikasi tarif Amerika Syarikat (AS), bekalan tambahan daripada kapasiti baharu dan permintaan hiliran yang lemah.

Mengulas mengenai prestasi Suku Pertama 2025, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mazuin Ismail, berkata daya tahan kumpulan itu dalam mengemudi landskap pasaran yang mencabar menunjukkan kekuatan kepelbagaian portfolionya.

“Peningkatan dalam pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) mencerminkan usaha berterusan kami mencapai kecemerlangan operasi dengan kadar penggunaan loji yang baik dicapai oleh perniagaan komoditi kami, walaupun terdapat halangan pada Januari 2025 yang menjejaskan operasi sementara di beberapa kilang di Kertih, Daerah Kemaman, Terengganu,” katanya.

Sementara itu, mengenai implikasi tarif AS terhadap PCG, beliau berkata syarikat itu dengan memantau rapat perkembangan tersebut dan menilai implikasi yang lebih luas terhadap dinamik pasaran secara keseluruhan.

Mazuin berkata kumpulan itu terus menumpu untuk memacu kecemerlangan bagi mengekalkan daya tahan dan daya saingnya di tengah-tengah kemelesetan industri ketika ini.

“Komitmen kami yang tidak berbelah bahagi terhadap operasi yang selamat dan cekap di semua kemudahan diteruskan kerana kami kini sedang menjalankan aktiviti pembaikan dan penyelenggaraan di beberapa loji O&D dan F&M,” katanya.

Menurutnya, Petronas Chemicals juga mengukuhkan hubungannya dengan pelanggan untuk memenuhi keperluan mereka yang semakin berkembang sambil mendukung disiplin kewangan yang ketat dan perbelanjaan modal yang berhemat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan