EKONOMI > BERITA

20 TAHUN PENGALAMAN, PUSAT KONVENSYEN KL SEDIA JAYAKAN SIDANG KEMUNCAK ASEAN KE-46

22/05/2025 12:33 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) berbesar hati dipilih sebagai lokasi rasmi bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada 26 dan 27 Mei sekali gus mengukuhkan legasi selama dua dekad sebagai lokasi terbaik di Malaysia untuk penganjuran acara multilateral berskala besar.

KLCC dalam kenyataan hari ini berkata protokol keselamatan ketat dilakukan KLCC telah memastikan tiada sebarang ancaman keselamatan berlaku ke atas para hadirin termasuk ketua-ketua negara, pegawai kerajaan, diplomat dan gabenor.

“Selain daripada infrastruktur fizikal, nilai tambah pusat konvensyen ini merangkumi protokol keselamatan hasil kerjasama erat dengan pegawai kanan polis, pihak berkuasa lalu lintas dan pasukan keselamatan khas.

“Kecekapan operasi turut melibatkan keupayaan kulinari, persekitaran terkawal serta jaminan keselamatan kukuh menjadikan KLCC pilihan terbaik untuk delegasi antarabangsa yang mengutamakan kecekapan dan layanan mesra,” katanya.

Bagi mengekalkan kedudukan teratas dalam industri pengurusan acara perniagaan global, KLCC sentiasa melakukan pembaharuan dan memperkenalkan pelbagai penambahbaikan teknologi canggih disesuaikan dengan keperluan semasa delegasi antarabangsa.

“Antara penambahbaikan terkini adalah paparan LED berdefinisi tinggi, sistem audio visual generasi baharu serta sistem kawalan bilik pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI).

“Inisiatif ini turut diperkukuhkan dengan protokol keselamatan siber bertaraf tinggi dan amalan pengurusan acara berkelestarian diperakui  Pertubuhan Piawaian Antarabangsa (ISO) sekali gus meletakkan KLCC di barisan hadapan dalam penganjuran pengurusan acara yang selamat dan bertanggungjawab.

Sempena ulang tahun ke-20, tahun ini, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur merupakan satu-satunya venue di Malaysia pernah menjadi tuan rumah kepada beberapa Sidang Kemuncak ASEAN (pada 2005 dan 2015).

Sejak dibuka pada 2005, KLCC telah menganjurkan lebih daripada 22,000 acara, menerima lebih 29 juta pelawat dan menyumbang RM12.6 bilion kepada ekonomi negara.

Sepanjang dua dekad, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur berperanan sebagai platform strategik Malaysia dalam menjalin hubungan global dengan menjadikan setiap acara sebagai peluang untuk memberi impak positif kepada negara dan meningkatkan imej Malaysia di persada dunia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan