KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah membentuk perkongsian jangka panjang dengan MidOcean Energy, sebuah syarikat gas asli cecair (LNG) diuruskan oleh EIG Global Energy Partners berpangkalan di Amerika Syarikat menerusi 20 peratus pegangan ekuiti dalam anak syarikat Kanada itu.
Petronas dalam satu kenyataan berkata ia akan memperkenalkan MidOcean sebagai rakan kongsi ekuiti 20 peratus dalam North Montney Upstream Joint Venture (NMJV) yang memegang pelaburan huluannya di Kanada.
Selain itu, Petronas juga akan memberikan 20 peratus kepentingan dalam Perkongsian North Montney LNG Limited Partnership (NMLLP), entiti yang mengawal kepentingan penyertaannya dalam LNG Canada Project.
"Petronas kekal komited terhadap pelaburannya di Kanada dan penyertaan ekuiti ini tidak akan menjejaskan kawalan sedia ada ke atas NMJV dan NMLLP.
"Perkongsian dengan MidOcean menggariskan kekuatan dan potensi jangka panjang aset North Montney, pada masa sama mengukuhkan kedudukan Kanada sebagai destinasi menarik untuk pelaburan tenaga global dan pertumbuhan industri LNG," kata Petronas.
MidOcean ditubuhkan untuk membina portfolio LNG global yang pelbagai, berdaya tahan, kos dan berdaya saing karbon dengan kepentingan dalam Gorgon LNG, Pluto LNG, QCLNG dan Peru LNG.
Petronas berkata perkongsian strategik itu membuka jalan untuk kerjasama masa hadapan, menambah nilai melalui peluang dikongsi.
Menurut kenyataan itu, Lambert Energy Advisory adalah penasihat kewangan dan Norton Rose Fulbright sebagai penasihat undang-undang kepada Petronas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial