EKONOMI > BERITA

PERKUKUH SOKONGAN FISKAL, INSENTIF UNTUK INDUSTRI — PERSATUAN GAS MALAYSIA

01/10/2025 07:23 PM

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Persatuan Gas Malaysia (MGA) menggesa kerajaan memperkukuh sokongan fiskal dan insentif bagi industri gas asli dalam Belanjawan 2026 serta bertindak atas tiga keutamaan segera bagi industri berkenaan.

MGA dalam satu kenyataan hari ini berkata hanya dengan langkah itu, industri dapat mengekalkan sumbangannya kepada ekonomi sambil membantu Malaysia mempercepatkan peralihan tenaga dan memelihara keselamatan tenaga.

Presidennya Abdul Aziz Othman berkata keutamaan pertama iaitu mengembalikan kelayakan penuh bagi sistem penjanaan bersama di bawah elaun cukai pelaburan hijau (GITA) untuk menyelaraskan semula dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan menyokong teknologi kecekapan tenaga yang terbukti.

“Keutamaan kedua iaitu memperkukuh insentif untuk biogas dan biometana termasuk sokongan perbelanjaan modal selain pengecualian cukai yang lebih tinggi untuk penyedia perkhidmatan supaya mereka dapat berkembang sebagai sebahagian daripada campuran tenaga boleh baharu (TBB) Malaysia.

“Dan ketiga, mengiktiraf bahan api marin rendah karbon termasuk perkhidmatan membekalkan gas asli cecair (LNG) ke atas kapal sebagai sektor pelaburan strategik disokong oleh insentif yang tersusun dan rangka kerja peraturan yang jelas bagi memperkukuh pelabuhan Malaysia dan daya saing negara,” katanya.

Dalam pada itu, MGA berkata keperluan ini nyata dan sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia mesti memimpin dengan memanfaatkan keupayaan yang sudah dimilikinya.

“Sektor-sektor yang dinyatakan di atas mungkin tidak mendapat perhatian utama, tetapi sebagai sektor pelaburan strategik, ia membawa impak jangka panjang dalam mengurangkan pelepasan karbon, memacu limpahan ekonomi dan mengukuhkan kredibiliti Malaysia di peringkat serantau.

“Di seluruh ASEAN, negara-negara sudah pun bergerak ke hadapan berdasarkan kekuatan masing-masing daripada percubaan membekalkan LNG ke atas kapal oleh Singapura hinggalah kepada pertumbuhan pesat TBB di Vietnam. Malaysia tidak boleh berdiam diri,” tambahnya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan