EKONOMI > BERITA

BELANJAWAN 2026 HARUS PROMOSI KERJASAMA 5G DALAM PERUSAHAAN - GLOBALDATA

06/10/2025 10:38 AM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Evolusi teknologi yang pesat dalam industri telekomunikasi menekankan keperluan untuk kerajaan terus menyediakan sokongan untuk lebih banyak kerjasama dalam teknologi 5G dalam kalangan perusahaan.

Justeru, Penganalisis Prinsipal Kanan GlobalData Plc untuk teknologi, Alfie Amir berharap Belanjawan 2026 akan datang dapat memberi tumpuan kepada beberapa bidang iaitu platform kerjasama yang lebih luas seperti makmal inovasi, insentif kewangan dipertingkatkan terutamanya untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta program diperluaskan untuk membangunkan bakat dan set kemahiran.

"Ini boleh menyediakan akses kepada perusahaan kepada teknologi baharu dan memacu penggunaan dan pada masa sama mengurangkan halangan untuk penggunaan teknologi baharu.

“Selain itu, program lebih luas akan membangunkan bakat dan kemahiran terutamanya dalam teknologi utama seperti keselamatan siber, pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan (AI) serta mengetatkan peraturan boleh menangani kebimbangan pasaran mengenai privasi dan keselamatan,” katanya kepada Bernama.

Menjelaskan lebih lanjut, Alfie berkata 5G telah menjadi teknologi utama untuk syarikat telekomunikasi (telco) di peringkat global untuk berinovasi, membezakan dan memacu perniagaan merentas kedua-dua segmen pengguna dan perusahaan.

"Pendekatan secara borong di Malaysia mengehadkan inovasi dengan syarikat telekomunikasi tempatan, oleh itu Belanjawan 2026 boleh memberi tumpuan kepada kerjasama 5G untuk memacu perkembangan kes penggunaan baharu," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata selain daripada inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang sedang dijalankan untuk meningkatkan kesalinghubungan terutamanya di kawasn yang kurang mendapat liputan, infrastruktur Malaysia agak maju dan meliputi hampir seluruh negara.

“Selain itu, syarikat telekomunikasi tempatan proaktif dalam meningkatkan keupayaan rangkaian mereka, justeru, tiada bidang kritikal baharu bagi kerajaan untuk memperuntukkan belanjawan di kawasan ketersambungan dan kurang mendapat liputan.

"Namun, kerajaan boleh mempertimbangkan memperuntukkan belanjawan untuk bandar pintar di kawasan yang kurang mendapat liputan untuk memberi manfaat kepada kerajaan negeri dan majlis bandaran, serta penduduk tempatan," katanya.

Mengulas mengenai prestasi industri telekomunikasi tahun ini, Alfie berkata pertumbuhan pasaran telekomunikasi Malaysia tidak berubah pada separuh pertama 2025, pada satu digit yang rendah, mencerminkan pasaran yang matang sejajar dengan arah trend sama dalam kalangan negara-negara maju.

GlobalData Telecom menganggarkan bahawa trend itu akan berterusan untuk baki tahun ini, manakala unjuran setahun dijangka menyaksikan sedikit penurunan dalam perkhidmatan telekomunikasi keseluruhan (perkhidmatan mudah alih dan talian tetap) sebanyak -1.9 peratus tahun ke tahun daripada RM31.9 bilion kepada RM31.3 bilion.

"Perkhidmatan digital dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) seperti awan, Internet Pelbagai Perkara (IoT), keselamatan siber dan perkhidmatan terurus telah menjadi enjin pertumbuhan utama bagi syarikat telekomunikasi.

"Walaupun jumlah pasaran ICT perusahaan dijangka berkembang 15.5 peratus kepada RM61.9 bilion pada 2025, peningkatan itu terjejas oleh kemerosotan dalam perkhidmatan tradisional seperti mudah alih, jalur lebar dan sambungan rangkaian," tambah Alfie.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dijadual membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen pada 10 Okt depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan