EKONOMI > BERITA

KERAJAAN JIMAT RM20 BILION DALAM TEMPOH DUA TAHUN HASIL KONSOLIDASI FISKAL - LIM

08/10/2025 04:10 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Usaha kerajaan melaksanakan konsolidasi fiskal bagi mengurangkan kadar defisit telah berjaya menghasilkan penjimatan pinjaman sebanyak RM20 bilion bagi tempoh dua tahun, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.

Beliau berkata konsolidasi fiskal telah berjaya menurunkan kadar defisit secara konsisten setiap tahun iaitu daripada 6.4 peratus pada 2021 kepada 4.1 peratus bagi 2024.

"Pengurangan kadar defisit bermakna pinjaman baharu telah menurun daripada RM99.4 bilion pada tahun 2022 kepada RM92.6 bilion pada tahun 2023 dan seterusnya kepada RM76.8 bilion pada tahun 2024, iaitu penjimatan melebihi RM20 bilion dalam tempoh dua tahun," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan usul Laporan Ketua Audit Negara 3/2025 bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Lim, pinjaman yang dibuat oleh kerajaan adalah secara berhemat dan terarah kepada sektor pembangunan strategik iaitu infrastruktur, pendidikan, kesihatan dan perlindungan sosial yang berupaya merangsang pertumbuhan jangka masa panjang dan meningkatkan kesejahteraan rakyat. 

"Dalam mengawal hutang negara, kerajaan tertakluk kepada hak hutang berdasarkan perundangan. Sehingga akhir Jun 2025, jumlah hutang Kerajaan Persekutuan ialah RM1.3 trilion iaitu masih di bawah hak statutori hutang yang dibenarkan.

"Kerajaan akan meneruskan langkah-langkah bersesuaian bagi mengurangkan defisit dan hutang baharu termasuk liabiliti serta kebergantungan negara kepada hutang," tambahnya.

Dalam pada itu, Lim menjelaskan bahawa tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ke atas pembayar cukai adalah berdasarkan peruntukan undang-undang percukaian tanpa mengira status pembayar cukai.

Jelasnya, bagi pembayar cukai yang culas membayar cukai, tindakan penguatkuasaan guaman sivil diambil melalui operasi guaman, pemfailan saman, penghakiman dan pelaksanaan penghakiman, serta sekatan perjalanan untuk menghalang pembayar cukai keluar negara.

"Sehingga 31 Ogos, 2025, daripada baki akaun belum terima (ABT) LHDN, sebanyak RM6.47 bilion telah dikurangkan melalui penerimaan bayaran dan lain-lain tindakan," katanya.

Selain itu, beliau menjelaskan keputusan hapus kira berjumlah RM337.14 juta pada 2024 telah dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan dalam Pekeliling Perbendaharaan dan garis panduan LHDN.

Ia terhad kepada kes-kes di mana kutipan tidak lagi boleh dilaksanakan seperti pembayar cukai yang meninggal dunia, bankrap atau syarikat telah digulung.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan