Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) - Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) terus memacu agenda kerjasama Selatan-Selatan Malaysia melalui peranannya sebagai Institusi Latihan untuk Program Latihan Negara Ketiga (TCTP) 2025: Penggalakan Perdagangan bagi Negara-Negara Afrika.
Program itu yang berlangsung dari 8-15 Okt, di sini, menyokong komitmen sekian lama Malaysia terhadap perkongsian pengetahuan dan kerjasama teknikal dalam kalangan negara membangun, khususnya menerusi penggalakan perdagangan dan pembangunan eksport.
Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata inisiatif itu menyerlahkan strategi Malaysia untuk mengukuhkan perkongsian global sambil mempelbagaikan penglibatan perdagangannya merentasi pasaran baharu dan pasaran baru muncul.
"Program ini sangat penting dan akan membawa kesan berganda kepada Malaysia dan rakan serantau kita. Sebagai sebuah negara perdagangan, kerjasama sebegini membuka ruang kepada pasaran baharu dan mengukuhkan daya tahan ekonomi kita," katanya kepada Bernama di luar program TCTP, hari ini.
Reezal Merican berkata benua Afrika mempunyai kepentingan dan potensi besar kepada pengeksport Malaysia, namun pasaran baru muncul juga tidak boleh diabaikan.
"TCTP 2025 akan memberi impak besar kepada semua peserta. Daripada proses pemilihan yang lancar kepada sesi perbincangan dan peluang perangkaian yang berharga, penganjuran TCTP MATRADE adalah bukti keupayaan kita untuk menyampaikan pengalaman bertaraf dunia kepada semua peserta," katanya.
Peserta tahun ini terdiri daripada wakil dari Algeria, Burkina Faso, Mesir, Ghana, Ivory Coast, Nigeria, Senegal, Afrika Selatan, Uganda dan Zimbabwe, bersama dua pemerhati dari Kawasan Perdagangan Bebas Benua Afrika (AfCFTA) dan Agensi Pembangunan Kesatuan Afrika (AUDA-NEPAD).
Beliau berkata program itu bukan sahaja membantu memudahkan jalinan hubungan perniagaan tetapi juga menonjolkan peranan penting Malaysia sebagai hab perdagangan dan pelaburan global.
Menurutnya, kepelbagaian terus menjadi strategi utama dalam memastikan kemampanan perdagangan Malaysia, bukan sahaja dengan mengembangkan penawaran produk tetapi juga meneroka destinasi pasaran baharu.
"Pada masa ini, perdagangan Malaysia dengan rantau Afrika berjumlah kira-kira RM40 bilion (US$10 bilion), mewakili kira-kira 2.5 peratus daripada jumlah perdagangan global kita. Walaupun angka itu mungkin kelihatan kecil, namun ia menyediakan peluang yang luas untuk pengembangan," katanya.
Sejak 2020, perdagangan terkumpul Malaysia dengan Afrika telah meningkat kepada RM258.6 bilion, manakala eksport berjumlah RM154.4 bilion.
Eksport utama termasuk minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit, produk petroleum, makanan diproses, produk elektrik dan elektronik, serta barangan perkilangan berasaskan minyak sawit.
Sementara itu, MATRADE mempergiatkan usaha penggalakan eksportnya tahun ini untuk mengukuhkan kehadiran Malaysia di seluruh benua Afrika serta meluaskan bahagian pasarannya.
Antara strategi yang diambil termasuk membantu syarikat Malaysia menyertai Ekspo Tenaga Mesir, di samping beberapa siri misi pecutan eksport ke Mesir, Libya, Afrika Selatan dan Kenya.
Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan hubungan perniagaan, membuka peluang baharu kepada pengeksport Malaysia, dan mempamerkan keupayaan negara sebagai rakan dagang yang boleh diyakini dalam pasaran Afrika yang sedang pesat membangun.
TCTP dianjurkan dengan kerjasama Program Kerjasama Teknikal Malaysia, unit di bawah Kementerian Luar Negeri, dan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun.
Reezal Merican berkata sudah tiba masanya bagi Malaysia untuk menggiatkan semula dan mengukuhkan hubungan perdagangan dengan negara-negara Afrika yang telah terjalin melalui rangka kerja Kerjasama Selatan-Selatan.
Beliau berkata negara-negara Afrika telah lama menganggap Malaysia sebagai rakan yang dipercayai dalam pembangunan dan perdagangan, dan terdapat potensi besar untuk meningkatkan lagi hubungan ini ke tahap yang lebih tinggi.
"Ini adalah masa yang sesuai untuk memulihkan semula penglibatan kita dengan Afrika. Malaysia bersedia untuk berkongsi pengalaman pembangunan yang boleh dimanfaatkan secara bersama-sama. Kita mahu memastikan kemajuan membawa kepada kemakmuran bersama," katanya.
Beliau juga memuji diplomasi perdagangan aktif kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, sambil menyatakan usaha penggalakan perdagangan Malaysia yang kukuh telah membuahkan hasil positif di peringkat global.
Reezal Merican berkata ekonomi Afrika yang sedang berkembang pesat akan memainkan peranan yang lebih menonjol dalam sistem perdagangan global pada dekad akan datang.
"Kita sedar potensi besar Afrika. Benua itu bakal menjadi salah satu kuasa ekonomi yang paling pesat berkembang di dunia dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang. Kerjasama ini akan meletakkan asas bagi Selatan global yang lebih kukuh dan lebih terhubung," katanya.
Antara acara yang diaturkan semasa program itu adalah seminar mengenai ‘Emerging Africa: Tapping into Growth and Opportunities’, (Kemunculan Afrika: Manfaatkan Pertumbuhan dan Peluang) serta taklimat dan lawatan industri meliputi bidang utama seperti perdagangan dan pelaburan.
Selain itu terdapat juga sesi perkongsian oleh pemain industri Malaysia daripada sektor minyak dan gas, pengangkutan dan logistik, tenaga boleh baharu, makanan dan minuman, pembinaan jalan raya dan halal.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial