EKONOMI > BERITA

PROGRAM PEMECUT KEMBAR UTAMA SELANGOR 2025 UMUM PEMENANG DEEP-X DAN RETAIL-X

08/10/2025 11:38 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Program Pemecut Kembar Utama Selangor 2025 (Selangor Twin Accelerator) menobatkan syarikat pemula niaga terbaik bagi dua trek utamanya, Deep-X dan Retail-X pada Hari Demo Akhir program itu di sini, hari ini.

Dianjurkan oleh Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec), acara kemuncak itu menyaksikan 24 finalis daripada 338 permohonan membentangkan projek masing-masing di hadapan panel juri, pelabur, korporat dan pemimpin ekosistem teknologi.

Bagi Retail-X, enam syarikat diumumkan sebagai penerima utama iaitu ODC Food Industries Sdn Bhd, HTFU Restaurants Sdn Bhd, Laurels & Leafz Flora Sdn Bhd, Alfa Consortium Sdn Bhd, Spectaclex (M) Sdn Bhd dan Mojomore (M) Sdn Bhd, manakala anugerah khas TikTok Shop diberikan kepada PCIAB Global Sdn Bhd.

Sementara itu, bagi Deep-X, pemenang terdiri daripada Citysage Sdn Bhd, Datverse Sdn Bhd, Pixelence Sdn Bhd, Viucom Sdn Bhd, Paix Tech Sdn Bhd dan Courtiq Sdn Bhd dengan Flow Studios menerima anugerah khas daripada Cradle.

Para pemenang Deep-X menerima trofi, lawatan inovasi ke Korea, peluang pelaburan dan wang tunai, manakala pemenang Retail-X akan mengikuti lawatan inovasi ke ByteDance (TikTok Shop) di Shanghai selain akses pelaburan dan wang tunai.

Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping berkata kejayaan para pemenang membuktikan Malaysia mampu membina jenama dan berkembang dari Selangor, sama ada dalam bidang teknologi mendalam (deep tech) mahupun menjadi pencabar runcit berimpak tinggi.

“Keunikan kohort kali ini bukan sekadar idea terobosan, tetapi pelaksanaan berdisiplin yang dibentuk oleh mentor, dinilai oleh pengamal berpengalaman dan dipercepatkan oleh rakan kongsi yang membuka pasaran sebenar,” katanya.

Program Pemecut Kembar Selangor menampilkan dua trek utama - Deep-X, yang menyokong syarikat berasaskan kecerdasan buatan (AI), mobiliti pintar dan teknologi hijau; serta Retail-X, yang memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam segmen makanan dan minuman, gaya hidup, kesihatan dan kesejahteraan.

Tahun ini program itu dianjurkan oleh Sidec dengan Affin Group merupakan penaja utama, Cradle sebagai rakan program, Plug and Play APAC sebagai rakan strategik global, Xendit sebagai rakan strategik pembayaran dan TikTok Shop yang menjadi rakan strategik e-dagang.

Pendaftaran untuk kohort seterusnya akan dibuka pada Januari 2026 melalui saluran rasmi Sidec.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan