KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Pengeluaran getah asli pada Ogos 2025 menurun sebanyak 12.8 peratus kepada 31,285 tan berbanding 35,884 tan pada Julai 2025, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata berdasarkan perbandingan tahun ke tahun, pengeluaran getah asli menurun 12.9 peratus berbanding Ogos 2024 (35,908 tan).
“Pengeluaran getah asli Malaysia pada Ogos 2025 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (86.5 peratus) berbanding sektor estet (13.5 peratus).
“Jumlah stok getah asli pada Ogos 2025 menurun sebanyak 7.3 peratus kepada 158,591 tan berbanding 171,153 tan pada Julai 2025,” katanya dalam satu kenyataan yang memetik Statistik Getah Bulanan Malaysia pada Ogos 2025.
Beliau berkata, kilang pemproses getah menyumbang 82.8 peratus kepada stok, diikuti kilang pengguna getah (17 peratus) dan estet getah (0.2 peratus).
Katanya, eksport getah asli Malaysia pada Ogos 2025 berjumlah 39,419 tan, iaitu peningkatan enam peratus berbanding Julai 2025 (37,198 tan).
China kekal sebagai destinasi utama bagi eksport getah asli, berjumlah 39.1 peratus daripada jumlah eksport pada Ogos, diikuti Jerman dengan 16.1 peratus, Emiriah Arab Bersatu (9.2 peratus), Amerika Syarikat (5.7 peratus) dan Portugal (3.9 peratus).
“Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah.
“Sarung tangan getah merupakan eksport utama produk berasaskan getah bernilai RM1.2 bilion pada Ogos, iaitu menurun 7.7 peratus berbanding Julai 2025 (RM1.3 bilion),” katanya.
Sementara itu, analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat merekodkan penurunan sebanyak 0.3 peratus (Ogos 2025: 569.48 sen sekilogram; Julai 2025: 571.3 sen sekilogram), manakala sekerap meningkat sebanyak 1.3 peratus (Ogos 2025: 594.18 sen sekilogram; Julai 2025: 586.68 sen sekilogram).
Trend harga bagi semua Getah Mutu Malaysia (GMM) bercampur-campur iaitu meningkat sebanyak 1.1 peratus dan menurun sebanyak 0.3 peratus.
Menurut Data Harga Komoditi Bank Dunia, harga bagi getah jenis ‘technically specified rubber’ (TSR) 20 meningkat 1.6 peratus daripada US$1.68 sekilogram kepada US$1.71 sekilogram manakala Singapura/Malaysia menurun 3.8 peratus daripada US$2.23 sekilogram kepada US$2.15 sekilogram.
Sementara itu, Malaysia Rubber Board Digest keluaran Ogos 2025 melaporkan bahawa pasaran getah Kuala Lumpur ditutup pada Ogos 2025 dengan prestasi bercampur-campur.
Harga disokong oleh kebimbangan mengenai bekalan bahan mentah yang semakin berkurangan di negara pengeluar utama, berikutan musim hujan yang berpanjangan, selain keyakinan baharu daripada gencatan tarif Amerika Syarikat dan China, kenaikan harga minyak mentah dan langkah rangsangan ekonomi terbaharu oleh China.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial