EKONOMI > BERITA

NORTHPORT KENDALI JUMLAH MUATAN KARGO KONVENSIONAL BULANAN TERTINGGI PADA SEPTEMBER

13/10/2025 07:17 PM

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Northport (Malaysia) Bhd catat rekod kendalian muatan kargo konvensional bulanan tertinggi sebanyak 1,327,883 tan berat muatan (FWT) pada September 2025.

Dalam satu kenyataan hari ini, Northport berkata jumlah muatan kargonya telah mengatasi rekod terdahulu sebanyak 1,277,409 FWT yang dicatat pada Oktober tahun lepas.

Northport berkata segmen pukal am, pukal cecair, pukal kering dan roll-on roll-off (RORO) masing-masing berjumlah 375,169 FWT, 399,086 FWT, 439,003 FWT dan 114,625 FWT pada September 2025, meningkat sebanyak 18.6 peratus, 27.3 peratus, 38.7 peratus dan 23.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Northport Nik Muzani Nik Abdul Aziz berkata prestasi pecah rekod itu mencerminkan kepercayaan pelanggan, tenaga kerja yang berdedikasi dan usaha penambahbaikan berterusan oleh syarikat.

“Walaupun berdepan cabaran yang berterusan dalam rantaian bekalan global, pasukan kami sekali lagi menunjukkan daya tahan dan kecemerlangan dalam pengendalian kargo konvensional,” katanya.

Nik Muzani berkata ketika syarikat melangkah ke suku akhir 2025, ia akan terus memberi keutamaan kepada usaha meningkatkan produktiviti, memperluas keupayaan perkhidmatan dan menyokong pertumbuhan perdagangan negara melalui operasi pelabuhan yang cekap dan mampan.

Northport juga melaporkan bagi tempoh tahun semasa sehingga September 2025, pengendalian kargo konvensionalnya berjumlah 9,600,675 FWT, meningkat 4.2 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2024.

“Sebagai rekod, Northport mengendalikan kargo konvensional berjumlah 12,691,633 FWT pada 2024, iaitu jumlah tahunan tertinggi yang pernah direkodkan sejak penubuhan Northport pada 2001,” katanya.

Northport beroperasi di bawah MMC Port Holdings Bhd, pengendali pelabuhan terbesar negara yang dimiliki sepenuhnya oleh MMC Corporation Bhd.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan