KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Kelewatan dalam pengeluaran pesawat dan alat ganti baharu dianggarkan menelan kos melebihi US$11 bilion (US$1=RM4.22) kepada industri penerbangan pada 2025, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Dalam satu kenyataan hari ini, persatuan itu berkata cabaran dalam rantaian bekalan industri aeroangkasa menyebabkan pengeluaran menjadi lewat, sekali gus mendorong syarikat penerbangan menilai semula rancangan armada mereka dan mengekalkan pesawat lama beroperasi untuk tempoh yang lebih panjang.
“Tunggakan tempahan pesawat komersial global mencapai paras tertinggi dalam sejarah melebihi 17,000 unit pada 2024, jauh lebih tinggi berbanding jumlah tertunggak antara 2010 hingga 2019 iaitu sekitar 13,000 pesawat setahun,” katanya dengan memetik hasil kajian bersama firma perunding pengurusan Oliver Wyman.
Menurut laporan bersama mereka yang baru dikeluarkan iaitu “Reviving the Commercial Aircraft Supply Chain”, anggaran kos melebihi US$11 bilion disebabkan oleh empat faktor utama: kos bahan api berlebihan akibat menggunakan pesawat lama yang kurang menjimatkan bahan api (US$4.2 bilion); kos penyelenggaraan tambahan (US$3.1 bilion); peningkatan kos pajakan enjin (US$2.6 bilion); dan kos penyimpanan inventori berlebihan (US$1.4 bilion).
Selain daripada peningkatan kos, laporan itu berkata cabaran dalam rantaian bekalan menghalang syarikat penerbangan daripada menggunakan pesawat yang mencukupi untuk memenuhi permintaan penumpang yang semakin meningkat.
Pada 2024, permintaan penumpang meningkat 10.4 peratus, melebihi pengembangan kapasiti sebanyak 8.7 peratus dan mendorong faktor muatan kepada rekod 83.5 peratus dan trend peningkatan permintaan penumpang berterusan hingga 2025.
Ketua Pengarah IATA Willie Walsh berkata syarikat penerbangan bergantung kepada rantaian bekalan yang boleh dipercayai untuk mengendalikan dan mengembangkan armada mereka dengan cekap.
“Tiada penyelesaian mudah untuk menangani masalah ini, tetapi terdapat beberapa langkah yang boleh memberikan sedikit kelegaan. Sebagai permulaan, membuka pasaran selepas jualan akan membantu dengan memberikan syarikat penerbangan lebih banyak pilihan dan akses kepada alat ganti serta perkhidmatan.
“Pada masa yang sama, ketelusan yang lebih tinggi mengenai keadaan rantaian bekalan akan memberi syarikat penerbangan data yang diperlukan untuk merancang mengatasi sekatan sambil membantu pengeluar peralatan tulen (OEM) mengurangkan kesesakan pada barisan pengeluaran,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial