KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Forum Perniagaan Tenaga ASEAN ke-25 (AEBF-25) yang akan bermula esok berperanan sebagai platform untuk memperkukuh kerjasama serantau dan menggerakkan kerjasama strategik bagi mempercepat transformasi tenaga ASEAN.
Dihoskan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan dianjurkan Pusat Tenaga ASEAN (ACE), forum tiga hari itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Bertemakan “Powering ASEAN: Bridging Boundaries, Building Prosperity,” acara ini dijangka menarik kehadiran 1,500 delegasi yang terdiri daripada pihak berkepentingan utama dan pemain utama industri tenaga ASEAN serta rakan dialog antarabangsa.
AEBF 2025 akan diadakan serentak dengan Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 (AMEM) dan mesyuarat berkaitan yang dijadual berlangsung bermula 16 hingga 17 Okt 2025.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merasmikan forum ini, yang dijangka menjadi antara dialog tenaga penting dalam sejarah ASEAN sekali gus menetapkan hala tuju kerjasama masa hadapan serta strategi tenaga transformatif.
Menurut PETRA, AMEM ke-43 akan membincangkan beberapa isu strategik termasuk Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) 2026-2030, yang akan berperanan sebagai pelan hala tuju strategik tenaga serantau bagi tempoh lima tahun akan datang.
Agenda utama lain merangkumi pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) serantau, antaranya Grid Tenaga ASEAN (APG) dan Perjanjian Keselamatan Petroleum ASEAN (APSA), yang bertujuan memperteguh kesalinghubungan tenaga, mendorong peralihan rendah karbon dan mempertingkat keselamatan tenaga serantau.
Sesi Bual Bicara Pemimpin Tenaga ASEAN akan turut diadakan bersempena acara ini yang melibatkan pemimpin institusi swasta dan perniagaan berkaitan tenaga.
Kepentingan AEBF di peringkat global akan lebih terserlah menerusi penyertaan pemimpin terkenal antarabangsa seperti Ketua Pengarah Bank Pembangunan Asia (ADB) Hideaki Iwasaki yang akan mengetengahkan rangka pembiayaan bagi transformasi ASEAN.
Forum ini turut menampilkan pemimpin tenaga global terkemuka antaranya Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri PETRA Datuk Seri Fadillah Yusof dan Setiausaha Tenaga Filipina Sharon Garin yang akan membentangkan visi bersama tenaga Asia Tenggara.
Melengkapkan peranan pembuat dasar ini adalah tokoh penting industri yang bertanggungjawab untuk melaksanakan visi tenaga serantau termasuk Pengerusi UEM Lestra Bhd dan Pengarah Urusan UEM Group Bhd Datuk Amran Hafiz Affifudin, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd Datuk Megat Jalaluddin Megat Hasan, Pengarah Urusan Gamuda Engineering, Justin Chin dan Ketua Pegawai Strategi dan Pertumbuhan Gamuda Australia Jarred Hardman.
Dengan sokongan AMEM, forum ini adalah acara tenaga terulung di Asia Tenggara dan berperanan sebagai pemangkin inovasi dasar, urus niaga perniagaan dan kerjasama rentas sempadan selama 25 tahun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial