Oleh Mikhail Raj Abdullah
KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Pelaburan sebanyak RM2 bilion untuk membangunkan Sovereign AI Cloud dalam Belanjawan 2026 akan membolehkan Malaysia meraih manfaat ekonomi yang mendorong negara mengekalkan nilai yang wujud daripada kecerdasan buatan (AI) dengan memastikan pendapatan, pekerjaan dan harta intelek kekal dalam negara, kata seorang pakar teknologi maklumat (IT).
“Sovereign AI Cloud akan membolehkan kita memastikan semua pengendalian data mematuhi bidang kuasa tempatan dan data kekal dalam Malaysia,” kata Pengasas Erobern Consultancy S. Sarkunarajah kepada Bernama.
Katanya selain manfaat dari segi ekonomi, langkah itu juga akan mewujudkan peluang kepada jumlah pemain AI tempatan yang meningkat termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk terlibat dalam operasi digital.
“Walaupun ini bukan unik untuk Malaysia, banyak kerajaan telah menetapkan bahawa data yang dijana dalam negara mereka perlu kekal di situ,” katanya.
Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lepas bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan membangunkan Sovereign AI Cloud.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata masa depan ekonomi digital Malaysia bergantung pada kedaulatan data dan AI sebagai sebahagian daripada usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai hab awan dan digital serantau menjelang 2030 seperti yang digariskan dalam Rangka Tindakan MyDigital kerajaan.
Sarkunarajah, yang mempunyai pengalaman selama lebih 20 tahun dalam Industri IT dengan tumpuan kini pada kecemerlangan operasi berkata Sovereign AI Cloud bermaksud “infrastruktur pengkomputeran awan dibangunkan khusus untuk beban kerja AI serta kerajaan Malaysia mengekalkan kawalan sepenuhnya ke atas keupayaan AI, data dan infrastruktur dalam bidang kuasa undang-undang kita sendiri.”
“Walaupun kita perlu bergantung pada pihak luar seperti NVIDIA (syarikat pengeluar cip dari Amerika Syarikat) dan lain-lain, memberi tumpuan kepada membina Sovereign AI Cloud kita sendiri, akan membolehkan kita memastikan semua pengendalian data mematuhi bidang kuasa tempatan dan data kekal dalam Malaysia.
“Kita melihat peningkatan jumlah pemain AI tempatan di Malaysia dan mewujudkan sesuatu seperti ini (Sovereign AI Cloud) akan mewujudkan peluang untuk pemain tempatan dalam industri,” katanya.
Dalam proses tersebut, katanya ia akan mewujudkan ekosistem syarikat tempatan yang memfokuskan pada penyelidikan dan pembangunan, pengkomersialan dan inovasi dalam bidang AI dan infrastruktur awan.
Di sebalik kelebihan yang jelas, Sarkunarajah berkata Malaysia perlu mengatasi beberapa cabaran dan paling utama ialah kekurangan bakat yang memerlukan tumpuan berterusan.
“Pembiayaan untuk syarikat pemula niaga juga merupakan satu aspek penting dalam menyokong PKS berkembang dan negara perlu turut meningkatkan literasi AI dalam kalangan tenaga kerja dan rakyat secara amnya.
“Mereka perlu menggunakan AI untuk meningkatkan produktiviti dan pada masa yang sama, mengetahui mengenai risiko keselamatan siber daripada penggunaan AI oleh pihak yang berniat jahat,” katanya, merujuk kepada penggodam dan sindiket penipuan.
Ekosistem pemain AI, terutamanya dalam sektor PKS, bukan sahaja menyokong usaha negara dalam membina Sovereign AI Cloud, malah turut menangani cabaran yang dihadapi Malaysia dalam mencapai visi AI, katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial