KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- MoneyX dan Mandrill Tech Sdn Bhd telah melancarkan platform pengurusan perhubungan pelanggan (CRM) yang diperkasakan kecerdasan buatan (AI), Net7, yang dibangunkan dalam persekitaran kad perniagaan pintar.
MoneyX dan Mandrill Tech melalui satu kenyataan bersama berkata Net7 bukanlah aplikasi hubungan tradisional, sebaliknya ia merupakan platform yang mengubah data hubungan ke dalam profil perniagaan yang boleh dicari, dikategorikan dengan pacuan AI.
"Net7 direka untuk membantu profesional serta perusahaan mengurus, mengembang dan mengukuhkan rangkaian mereka," katanya.
"Daripada usahawan kepada pasukan jualan yang besar, platform ini akan memastikan setiap hubungan perniagaan menjadi sebahagian daripada aset rangkaian milik korporat yang selamat," kata kenyataan itu.
Net7 menawarkan beberapa ciri utama, termasuk pengurangan sehingga 99 peratus dalam kemasukan data manual, yang membolehkan pasukan jualan memberi tumpuan kepada perolehan dan bukan kerja-kerja pentadbiran.
Ia turut menyediakan klasifikasi pintar melalui penandaan industri secara automatik, pengenalan peranan dan tinjauan yang boleh ditapis serta perisikan korporat bersama bagi memastikan tiada hubungan yang bernilai hilang, menjaga rangkaian perniagaan sebagai aset milik syarikat dan bukannya individu.
"Net7 direka dengan keselamatan dan skalabiliti global yang mantap. Ia mampu diintegrasikan dengan platform CRM utama, menyokong piawaian ISO 27001, mematuhi Akta Perlindungan Data Peribadi selain menggalakkan rangkaian bersifat digital yang mampan, dengan mengurangkan pergantungan pada kad nama bercetak," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hextar Technologies Solutions Bhd, syarikat induk MoneyX, Datuk Eddie Ong Choo Meng berkata dengan menggabungkan inovasi AI dan kepintaran CRM, Net7 mentakrifkan semula transformasi perniagaan dengan mengubah kad nama yang ringkas ke dalam hubungan yang berkekalan dan peluang.
Sementara itu, CEO Mandrill Tech, Davent Low berkata Net7 memanfaatkan kecerdasan data termaju untuk menyediakan pelanggan dengan tinjauan terkini mengenai rangkaian sedia ada mereka, menggunakan AI bagi menganalisis perkembangan terkini, mencadangkan peluang yang berpotensi termasuk memberikan nilai yang lebih baik kepada rangkaian mereka.
Tidak seperti kad perniagaan tradisional yang kekal statik, Net7 terus mengemas kini profil rangkaian apabila hubungan ini mengubah peranan atau syarikat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial