EKONOMI > BERITA

SOUTHERN CABLE KUMPUL SEHINGGA RM259 JUTA BAGI BIAYAI PELAN PENGEMBANGAN

14/10/2025 09:16 PM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Southern Cable Group Bhd (Southern Cable) telah mencadangkan tawaran saham persendirian sehingga 10 peratus daripada jumlah saham terbitannya untuk mengumpul sebanyak RM259 juta bagi membiayai pelan pengembangannya yang bertujuan meningkatkan kapasiti pengeluarannya.

Pengeluar wayar dan kabel itu berkata pelan tersebut akan meningkatkan pengeluaran wayar dan kabel tahunannya sebanyak 25 peratus kepada 65,000 kilometer menjelang akhir 2027, daripada 51,980 kilometer setahun setakat 30 Jun 2025.

“Secara serentak, ia akan meningkatkan pengeluaran rod aluminiumnya sebanyak tiga kali ganda kepada lebih 60,000 tan metrik setahun daripada kira-kira 20,000 tan metrik setahun setakat 30 Jun 2025,” kata  Southern Cable dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, pengembangan akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka selesai menjelang akhir 2027.

Pengarah Urusan Southern Cable Tung Eng Hai berkata pengembangan syarikat itu bertujuan memenuhi permintaan bagi kabel dan wayar yang semakin meningkat, sambil menyokong pembangunan Malaysia menerusi projek dalam utiliti kuasa, tenaga boleh baharu, pembinaan, infrastruktur dan pusat data.

“Untuk mencapai aspirasi pertumbuhan jangka panjang kami, kami juga meningkatkan perolehan luar negara, dengan sasaran ia menyumbang sebanyak 30 peratus daripada jumlah hasil dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Dana yang dikumpul akan mengukuhkan lagi keupayaan pengeluaran dan menyokong visi kami untuk menjadi pengeluar kabel dan wayar bersepadu terkemuka di rantau ini,” katanya.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak RM129 juta akan digunakan untuk perbelanjaan modal dan pengembangan, termasuk pembinaan dan pengubahsuaian kilang serta gudang bersebelahan untuk operasi sedia ada di Kuala Ketil, Kedah.

Southern Cable berkata dana itu akan digunakan untuk memperoleh sebuah gudang, membeli mesin dan peralatan baharu, dan memasang dua barisan pengeluaran baharu untuk kabel voltan sederhana hingga lebih tinggi, serta relau aluminium baharu.

Sementara itu, tambahan RM5.1 juta akan digunakan untuk menyelesaikan baki tanah perindustrian yang diperoleh sebelum ini, manakala hasil selebihnya akan digunakan sebagai modal kerja untuk membeli bahan mentah, serta membayar balik pinjaman dan menampung perbelanjaan berkaitan pelaksanaan itu.

“Pada harga terbitan indikatif RM2.16 sesaham penempatan, cadangan tawaran saham persendirian itu dijangka mengumpul jumlah hasil kasar antara RM218 juta hingga RM259 juta,” katanya.

RHB Investment Bank Bhd telah dilantik sebagai penasihat utama dan ejen penempatan tunggal.

Ditubuhkan pada 1993, Southern Cable membekalkan kabel dan wayar kepada syarikat utiliti dan telekomunikasi utama, termasuk Tenaga Nasional Bhd, Telekom Malaysia Bhd, Sabah Electricity Sdn Bhd, Petroliam Nasional Bhd (Petronas), dan Sarawak Energy Bhd.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan