EKONOMI > BERITA

MALAYSIA AKAN ADAKAN PERBINCANGAN DENGAN AS MENGENAI TARIF SEKTOR - TENGKU ZAFRUL 

15/10/2025 11:05 AM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Malaysia akan mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat (AS), Howard Lutnick, mengenai tarif sektor yang akan dikenakan AS terhadap sektor tertentu seperti semikonduktor, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau memberitahu Bernama tarif sektor termasuk bagi semikonduktor dan sektor lain, masih belum dibincangkan atau dimuktamadkan mengikut Seksyen 232, Akta Perluasan Perdagangan 1962 AS.

“Tarif terhadap semikonduktor pada masa ini masih pada kadar sifar peratus, sama seperti beberapa sektor lain. Sektor yang kini dikenakan tarif adalah automotif, besi, keluli dan perabot.

“Saya akan mengadakan perbincangan dengan Lutnick. Beliau juga akan menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin ASEAN minggu depan. Perbincangan dengan Wakil Perdagangan AS (USTR) berkenaan dengan perjanjian tarif timbal balik sedang berjalan,” katanya.

Beliau berkata Timbalan USTR juga akan berada di Malaysia minggu ini.

Pasukan dari AS telah tiba pada Ahad dan kini sedang berunding dengan pasukan Malaysia untuk memuktamadkan perkara tersebut, katanya.

Tengku Zafrul mengesahkan Malaysia dan AS akan menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balik pada Sidang Kemuncak ASEAN minggu depan.

Perkara itu disuarakan beliau semasa menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara yang dikendalikan Sherkawi Jirim, bagi membincangkan tajuk ‘Memperkasakan Ekonomi & Strategi Rundingan Tarif’, yang diterbitkan Bernama TV pada Selasa.

Mengulas perkara itu, beliau berkata MITI akan berusaha memuktamadkannya.

“Kita telah berbincang dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu lepas dan akan meneruskan perbincangannya dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang akan datang. Perkara penting adalah kita perlu memastikan perjanjian ini turut memberi manfaat kepada syarikat tempatan kita.

“Saya telah diberikan amanah oleh Perdana Menteri, bersama-sama pasukan MITI, untuk berusaha memuktamadkan perjanjian ini kerana mengikut perancangan supaya perjanjian ini ditandatangani semasa Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin ASEAN. Beberapa negara, termasuk Malaysia, akan menandatangani perjanjian perdagangan timbal balik bersama AS,” katanya.

Tengku Zafrul berkata antara sektor yang dijangka mendapat manfaat daripada perjanjian itu adalah pertanian, perindustrian dan pembuatan serta sektor yang terlibat dalam perdagangan dan pelaburan dengan AS.

Beliau berkata perbincangan dengan pentadbiran Trump sebelum ini telah mencapai persetujuan untuk tidak menyentuh isu sensitif seperti hak bumiputera, pemerolehan kerajaan dan perkara berkaitan sektor halal.

 

Malaysia juga bersetuju dalam isu yang mempunyai titik persamaan antara kedua-dua pihak, dan negara perlu memastikan sebarang konsesi yang diberikan kepada AS adalah selaras dengan yang pernah diberikan kepada negara lain sebelum ini.

Beliau berkata Malaysia dan ASEAN juga telah mencadangkan usaha untuk mempertingkatkan perdagangan dan pelaburan dengan AS semasa mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN bulan lepas.

“Kita mempunyai Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan (TIFA) dengan AS yang kita ingin bincangkan, dan proses itu telah pun bermula.

“Pada masa sama, dari segi pelaburan dan perdagangan, setakat ini belum wujud sebarang kesan negatif terhadap perdagangan dengan AS atau pelaburan,” katanya.

-- BERNAMA

 

TAG: Tengku Zafrul Abdul Aziz, tarif AS, semikondukor

 


KI2 MR TLC ZAZ


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan