EKONOMI > BERITA

GIFF 2025 MEMBOLEHKAN INDUSTRI TAKAFUL MENONJOL SECARA GLOBAL

15/10/2025 01:32 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Persatuan Takaful Malaysia (MTA), sebagai rakan kongsi pendukung Forum Kewangan Islam Global (GIFF) 2025, menekankan kemajuan dan hala tuju Takaful ASEAN semasa sesi Sorotan ASEAN yang bertemakan "Mencarta Transformasi Takaful ASEAN - Daripada Kekuatan kepada Penanda Aras Global".

Sesi tersebut yang mengumpulkan pengawal selia, pembuat dasar, pemimpin industri dan pihak berkepentingan global, menekankan peranan ASEAN sebagai pasaran Takaful yang berkembang pesat serta peneraju idea dalam kewangan Islam global.

MTA berkata sesi itu mencerminkan hasrat bersama di rantau ini untuk meningkatkan kerjasama, inovasi dan keterangkuman bagi membentuk fasa seterusnya dalam perlindungan kewangan berasaskan nilai.

Kemuncak utamanya adalah pelancaran ASEAN Takaful Alliance (ATA), sebuah platform yang menyatukan operator takaful di seluruh ASEAN.

"ATA bertujuan untuk memupuk kerjasama rentas sempadan, mengukuhkan keterlihatan industri selain meletakkan ASEAN sebagai penanda aras global untuk amalan takaful yang inklusif dan berimpak. Ini juga sejajar dengan rangka kerja integrasi kewangan ASEAN, memantapkan kepimpinan Malaysia dalam memajukan kewangan Islam di rantau ini," katanya melalui satu kenyataan kepada Bernama.

Mengulas mengenai perikatan itu, Ketua Pegawai Eksekutif MTA Mohd Radzuan Mohamed berkata ia mencerminkan aspirasi kolektif persatuan untuk mengukuhkan perpaduan serantau serta memacu pertumbuhan yang didorong oleh tujuan melalui kerjasama dan perkongsian nilai.

"Bersama-sama, kami sedang membina ekosistem yang bukan sahaja akan menonjolkan ASEAN tetapi menetapkan penanda aras global untuk perlindungan yang beretika dan inklusif," kata Mohd Radzuan. 

Satu lagi pengumuman utama ialah kerjasama Malaysia-Türkiye, perkongsian strategik yang bertujuan memperluaskan pertukaran pengetahuan, inovasi produk yang patuh Syariah dan pembangunan bakat yang membabitkan kedua-dua negara itu.

Perkongsian ini menghubungkan ekosistem kewangan ASEAN dan OIC, memajukan kepimpinan Malaysia serta Türkiye dalam memajukan hubungan kewangan Islam global melalui inovasi dan nilai bersama. 

Sesi itu juga menyaksikan penyerahan simbolik Pengantaraan Berasaskan Nilai untuk Takaful (VBIT) Kad Skor Maqasid Syariah (MSS) kepada Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA).

Dibangunkan di bawah kepimpinan MTA, MSS mewakili rangka kerja berstruktur pertama industri bagi mengukur hasil berasaskan Syariah dan kesan sosial dalam operasi takaful. 

"Memasukkan pengukuran Maqasid Syariah ke dalam Takaful adalah penting untuk memastikan industri kami kekal beretika dan memacu impak. Kerjasama dengan ISRA adalah langkah utama dalam menginstitusikan tadbir urus yang baik dan inovasi yang mempunyai tujuan," kata Mohd Radzuan.

Melalui inisiatif ini, MTA terus memacu Pelan Transformasi Hijrah 27, mengukuhkan peranan Malaysia dalam integrasi kewangan serantau selain mempromosikan sistem takaful berasaskan nilai dan inklusif.

GIFF 2025 menyediakan platform untuk rakan kongsi MTA dan ASEAN mempamerkan bagaimana kerjasama, inovasi serta impak yang didorong oleh Syariah dapat menempatkan ASEAN sebagai penanda aras Takaful global, mencerminkan mesej acara itu iaitu "Daripada Kekuatan kepada Penanda Aras Global".

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan