KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Insights Analytics Bhd, penyedia penyelesaian teknologi yang berpangkalan di Sarawak mencatatkan lebihan langganan untuk bahagian awam tawaran awam permulaannya (IPO) sebanyak 53.62 kali.
Sebanyak 14,397 permohonan daripada orang awam Malaysia melibatkan 1.50 bilion saham baharu bernilai RM540.72 juta telah diterima untuk 27.50 juta saham baharu yang diperuntukkan bagi langganan awam.
Pengarah Urusannya Frank Wee berkata syarikat itu merancang untuk mempercepatkan pengembangan perniagaan dan memberi tumpuan kepada menghasilkan penyelesaian teknologi maklumat (IT) baharu sambil meningkatkan prestasi perkhidmatan penyelesaian IT sedia ada.
“Langkah ini akan membolehkan kami memainkan peranan penting memajukan transformasi digital Malaysia dalam pengurusan sumber air.
"Kami komited untuk menyumbang secara bermakna kepada inisiatif bandar pintar Sarawak dan meletakkan kedudukan kami sebagai peneraju serantau dalam analitik utiliti pintar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, bahagian awam Bumiputera telah terlebih langgan sebanyak 44.05 kali selepas sejumlah 7,161 permohonan untuk 619.38 juta saham baharu diterima.
Bagi bahagian awam bukan Bumiputera, sebanyak 7,236 permohonan untuk 882.61 juta saham baharu telah diterima, mewakili kadar terlebih langgan sebanyak 63.19 kali.
Sebanyak 11 juta saham baharu yang diperuntukkan kepada pengarah, pekerja dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan Insights Analytics Group di bawah peruntukan borang merah jambu juga telah dilanggan sepenuhnya.
Di samping itu, ejen penempatannya telah mengesahkan 82.50 juta saham yang diperuntukkan untuk permohonan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta pelabur terpilih telah dilanggan sepenuhnya.
Di bawah penyenaraian itu, Insights Analytics menyasarkan untuk mengumpul RM43.56 juta daripada terbitan awamnya sebanyak 121 juta saham baharu pada harga terbitan 36 sen sesaham.
Berdasarkan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 550 juta saham, jumlah permodalan pasaran Insights Analytics semasa penyenaraiannya dianggarkan berjumlah RM198 juta.
Penyenaraian syarikat itu di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd dijadualkan berlangsung pada 27 Oktober, 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial