KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- ASEAN perlu menyasarkan untuk muncul sebagai destinasi pelaburan tenaga bersih dengan memanfaatkan kerjasama awam-swasta, pembiayaan hijau dan dana iklim, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata peralihan tenaga rantau ini memerlukan berbilion-bilion dolar bagi tujuan pelaburan dalam aspek penjanaan, pembekalan, inovasi dan modal insan, sekali gus membuktikan keperluan mekanisme pembiayaan yang berkesan untuk memastikan kejayaan pelaksanaannya.
“ASEAN perlu menyasarkan untuk menjadi destinasi pelaburan tenaga bersih. Ini bermakna kita perlu mewujudkan dasar lebih stabil, mengurangkan risiko serta mengetengahkan kisah atau usaha yang berjaya.
“Pembiayaan terhadap peralihan ini berkisar mengenai keyakinan terhadap hala tuju kita secara bersama,” katanya pada sesi Prospek Tenaga bagi ASEAN - Daripada Perkongsian Wawasan kepada Tindakan Serantau yang diadakan bersempena penganjuran Forum Perniagaan Tenaga ASEAN (AEBF) 2025 hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air turut menegaskan bahawa usaha mempercepat peralihan tenaga bersih memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, perniagaan serta institusi kewangan untuk menggerakkan modal selain dapat mendorong pertumbuhan serantau yang lebih mampan.
Pada masa sama, beliau berkata ASEAN perlu menggandakan usaha kerjasama tenaga serantau untuk membolehkannya maju sebagai sebuah rantau.
Sehubungan itu, Fadillah menyifatkan inisiatif-inisiatif seperti Grid Tenaga ASEAN (APG) dan Projek Saluran Paip Gas Trans-ASEAN (TAGP) menjadi pengupaya penting bagi memastikan keterjaminan tenaga serantau serta kemampanannya.
“Menerusi tindakan kesalinghubungan sistem tenaga, kita dapat berkongsi sumber dan mempercepatkan lagi peralihan ini. Perdagangan pelbagai hala dan infrastruktur rentas sempadan juga penting dalam merealisasikan impian bersama ini.
“Atas alasan inilah, ASEAN memperbaharui komitmen terhadap APG menerusi memorandum persefahaman (MoU) APG yang dipertingkatkan,” katanya.
Fadillah berkata MoU berkenaan akan membolehkan ASEAN untuk bekerjasama lebih erat bagi mengukuhkan rangka kerja pengawalseliaan, penyeragaman piawaian serta membina keyakinan dalam kalangan negara anggota.
Beliau turut mengingatkan di sebalik keterujaan penyampaian lebih banyak kemajuan serta bekerjasama untuk merealisasikan wawasan bersama ASEAN, menteri-menteri tenaga juga perlu menyedari bahawa kesemua inisiatif itu tidak dapat digerakkan tanpa mekanisme pembiayaan yang berkesan.
Kalangan menteri itu juga, katanya, perlu mengakui kepentingan tadbir urus yang padu sebagai teras peralihan tenaga.
Pada masa sama, dasar yang konsisten dan diselaras dalam kalangan negara anggota ASEAN, disokong oleh perancangan jangka panjang, sasaran yang telus manakala membuat keputusan secara terangkum dapat memantapkan lagi tindakan kolektif bagi rantau ini, kata beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial