EKONOMI > BERITA

NEA 2025 : PENGIKTIRAFAN KEBANGSAAN UNTUK PENGEKSPORT TERKEMUKA MALAYSIA

18/10/2025 03:17 PM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) hari ini melancarkan Anugerah Eksport Negara (NEA) 2025 bagi mengiktiraf pengeksport Malaysia yang cemerlang.

Selain itu anugerah berkenaan bermatlamat memperkukuh aspirasi negara untuk muncul sebagai negara perdagangan yang berdaya saing di peringkat global, bersedia dari segi perkhidmatan dan dipacu oleh kemampanan.

Menurut kenyataan agensi itu, anugerah yang bertemakan “Honouring Excellence, Powering Global Trade,” NEA 2025 mencerminkan visi perdagangan negara yang lebih menyeluruh.

Katanya, ia juga melihat kejayaan eksport bukan sekadar urusan perdagangan tetapi sebagai tiang strategi bagi pertumbuhan ekonomi, penempatan global dan pembangunan mampan jangka panjang.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata prestasi eksport Malaysia yang kukuh di sebalik ketidaktentuan global mencerminkan daya tindak balas dan ketahanan industrinya.

“Ramai dalam kalangan pengeksport kita merupakan pemangkin inovasi, juara ketahanan dan penggerak kepada pertumbuhan yang terangkum serta mampan.

“NEA 2025 mengiktiraf kecemerlangan ini dengan meraikan pengeksport yang berjaya membina perniagaan yang bersedia untuk masa depan, dipacu oleh inovasi dan berteraskan kemampanan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata NEA 2025 merupakan platform kebangsaan untuk menonjolkan kecemerlangan, memberi inspirasi kepada generasi pengeksport seterusnya selain mengukuhkan semula kedudukan Malaysia di pentas global.

“Inilah saatnya untuk Malaysia, untuk memimpin, bersaing dan cemerlang,” katanya.

Beliau turut berkata anugerah ini bukan sahaja satu penonjolan kecemerlangan industri, malah merupakan tanda penghargaan besar daripada MATRADE untuk merakamkan ucapan terima kasih dan menunjukkan rasa penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Tengku Zafrul.

“Mereka (para pemimpin kita) berada di barisan hadapan tanpa henti dan tanpa jemu mengadakan pertemuan serta rundingan dua hala dengan pemimpin di seluruh dunia, terutamanya dalam suasana geopolitik dan geoekonomi yang sangat rapuh selain tidak menentu yang kita hadapi tahun ini,” ujar Reezal Merican.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Sri Mohd Mustafa Abdul Aziz pula berkata apabila jangkaan global semakin beralih ke arah perdagangan yang lebih bertanggungjawab, pengeksport Malaysia perlu bangkit untuk menyahut cabaran tersebut.

“NEA memberi penghormatan kepada mereka yang menerajui usaha ini selain menetapkan haluan yang mendorong orang lain untuk turut serta,” katanya.

Edisi 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 5 Disember akan menampilkan tujuh kategori anugerah pengeksport terbaik termasuk Pengeksport Terbaik bagi Syarikat Besar, Pengeksport Terbaik bagi Syarikat Multinasional dan Pengeksport Terbaik bagi Syarikat Pertengahan.

Kategori lain iaitu Pengeksport Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Terbaik bagi kategori Membangun, Pengeksport PKS Terbaik bagi Bumiputera, Pengeksport PKS Terbaik bagi Belia dan Pengeksport PKS Terbaik bagi Wanita.

Penerima anugerah akan dipilih melalui rangka kerja penilaian yang teliti berdasarkan nilai eksport, capaian pasaran, amalan kelestarian dan trajektori pertumbuhan.

MATRADE berkata proses berkenaan akan disahkan secara bebas oleh firma audit profesional selain memastikan ketelusan dan pengiktirafan berdasarkan merit selaras dengan amalan terbaik global.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan