EKONOMI > BERITA

MALAYSIA TELITI STRATEGI HOLISTIK BAGI PELAKSANAAN EUDR BERISIKO RENDAH - JOHARI

23/10/2025 01:27 PM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Jawatankuasa Khas Pelaksanaan Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR) telah meneliti strategi dan langkah yang perlu dilaksanakan secara holistik merentasi kementerian bagi memastikan Malaysia dapat dikategorikan semula sebagai negara berisiko rendah dalam pelaksanaan EUDR.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata penelitian itu merangkumi penilaian kriteria penanda aras negara yang berada di bawah bidang tugas pelbagai kementerian.

“Antara langkah itu adalah penyelarasan laporan data hutan dan penguatkuasaan perundangan berkaitan perhutanan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta pematuhan dan penguatkuasaan undang-undang yang melindungi hak asasi manusia termasuk hak komuniti pribumi oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

“Langkah lain adalah penekanan elemen kemampanan dalam rundingan perjanjian perdagangan bebas oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Chong Zhemin (PH-Kampar) mengenai status perkembangan dan pencapaian kementerian dalam usaha mengeluarkan Malaysia daripada status “risiko standard” di bawah EUDR.

Sementara itu, Johari berkata kerajaan telah mewujudkan sistem kebolehjejakan nasional bagi sektor sawit sebagai sebahagian daripada pematuhan Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) bagi memastikan eksport sawit tidak hanya dijalankan oleh syarikat besar.

Katanya Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) kini berada di peringkat akhir untuk menyiapkan sistem berkenaan.

“Melalui sistem ini, semua ‘geomap’  atau peta geografi dan geolokasi setiap pekebun kecil akan direkodkan, dan syarikat besar boleh membeli sawit daripada pekebun kecil yang telah direkodkan serta memasukkannya dalam sistem kebolehjejakan mereka untuk dieksport ke negara Eropah.

“Sebaliknya, mana-mana pekebun kecil yang tidak mempunyai ‘geomap’ atau membuka kawasan baharu sehingga menyebabkan penebangan hutan, buah (sawit) mereka tidak akan diterima dalam sistem ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) berkenaan mekanisme sokongan digital dan sistem kebolehjejakan yang sedang dibangunkan bagi memastikan pekebun kecil tidak terpinggir akibat keperluan kebolehjejakan yang ketat di bawah peraturan EU.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan