KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Semakan cukai eksais mengikut penilaian pasaran terbuka (OMV) yang dijadual dilaksanakan pada Januari 2026 dijangka ditangguhkan untuk kali kelima, kata RHB Investment Bank Bhd (RHB IB).
Menurut bank pelaburan itu, langkah ini mencerminkan pendekatan berhati-hati kerajaan memandangkan dasar itu boleh menyebabkan harga kenderaan pemasangan tempatan (CKD) meningkat antara 10 hingga 30 peratus sekali gus menjejaskan permintaan dan jualan.
“Pelaksanaan (OMV) akan menjejaskan perbelanjaan pengguna dan pertumbuhan ekonomi.
"Kami kini menjangkakan kerajaan memberi penerangan yang lebih jelas mengenai kaedah pengiraan OMV sebelum tempoh pelaksanaan baharu ditetapkan," katanya dalam nota penyelidikannya hari ini.
Pemain industri dan kerajaan dilaporkan sedang membincangkan mengenai semakan cukai eksais OMV tanpa panduan yang jelas mengenai kaedah pelaksanaan atau potensi impaknya.
Sementara itu, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) melaporkan penurunan sebanyak 22 peratus jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) berjumlah 58,490 unit pada September 2025.
RHB IB berkata mereka tetap berhati-hati terhadap prospek sektor itu di tengah-tengah persaingan yang semakin sengit.
"Trend makroekonomi semasa bagaimanapun menyokong penjualan kereta, disokong pula dengan jumlah yang lebih kukuh secara bermusim pada suku keempat 2025," katanya sambil mengekalkan penarafan "Neutral" terhadap sektor ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial