EKONOMI > BERITA

FLEKSIBILITI DALAM DASAR KABOTAJ DAPAT KURANGKAN KOS PENGHANTARAN DI SABAH

23/10/2025 04:13 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 23 Okt (Bernama) -- Pengecualian untuk satu tempoh tertentu ke atas dasar kabotaj Malaysia boleh membantu mengurangkan ketidakseimbangan kos penghantaran dan kos logistik tinggi yang telah lama berlaku di Sabah, mengambil iktibar daripada pelarasan dasar serupa di United Kingdom (UK) dan Indonesia.

Bekas presiden Institut Logistik dan Pengangkutan Bertauliah (CILT) Malaysia Datuk Dr Ramli Amir berkata Sabah banyak bergantung pada pengangkutan maritim untuk lebih 90 peratus pergerakan barangannya, terus menghadapi kadar tambang muatan tinggi disebabkan ketidakseimbangan ketara antara import dan eksport.

Beliau memetik data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bahawa jumlah perdagangan Sabah pada 2024 mencecah RM107.8 bilion, import melonjak 10.2 peratus kepada RM46.4 bilion dan eksport turun 2.3 peratus kepada RM61.3 bilion, mengurangkan lebihan dagangan sebanyak 27.9 peratus berbanding setahun lepas kepada RM14.9 bilion.

"Import menguasai kira-kira 80 peratus aliran kontena di terminal utamanya seperti Teluk Sapangar dan Tawau. Kapal sering meninggalkan pelabuhan dengan ruang besar kosong di kaki balik," katanya kepada Bernama hari ini.

“Akibatnya ialah ketidakseimbangan pengangkutan berwajaran import yang meningkatkan kos logistik dan, akhirnya, harga pengguna,” katanya.

Ramli berkata pengecualian kabotaj bersasar, sama seperti langkah diguna pakai di luar negara, boleh menyediakan Sabah rangka kerja logistik yang lebih kompetitif dan mampan.

"Pengalaman UK dan Indonesia menunjukkan bahawa pengecualian terkawal dan mengikut masa ditetapkan tidak menjejaskan industri perkapalan negara. Sebaliknya, mereka menangani kegagalan pasaran sementara, pada masa sama memastikan daya tahan untuk tempoh jangka panjang," katanya.

Pengecualian dasar kabotaj buat sementara waktu UK 2021-2022 membenarkan kapal asing melakukan perjalanan domestik tanpa had dalam masa 14 hari selepas kemasukan, ia membantu menstabilkan rantaian bekalan semasa kekurangan pemandu.

"Langkah itu menunjukkan bahawa pengecualian jangka pendek boleh menyelesaikan kegagalan pasaran tanpa menjejaskan daya tahan industri domestik," katanya.

Beliau berkata di Indonesia, permit Izin Penggunaan Kapal Asing membenarkan kapal asing untuk menggunakan laluan domestik hanya apabila kapal tempatan tidak tersedia.

“Ditadbir di bawah Undang-undang No 17 Tahun 2008 dan ditambah baik menerusi Peraturan Menteri PM 100/2016 dan PM 2/2021, sistem ini telah meningkatkan kekerapan perkhidmatan dan mengurangkan kos pengangkutan sebanyak 15 hingga 25 peratus di wilayah terpencil,” katanya.

Kedua-dua kes menggariskan bagaimana pengecualian strategik boleh memperkukuh, bukannya menggantikan, kapasiti domestik, mengimbangi penyertaan asing dengan pengawasan negara.

“Dengan Sapangar Bay, Tawau, Sandakan, dan Lahad Datu lebih 1,500 km dari hab perkapalan dan perindustrian utama Semenanjung Malaysia, negeri ini beroperasi di luar kawasan ekonomi perkapalan negara.

“Kebanyakan syarikat kapal dengan bendera Malaysia yang menyediakan perkhidmatan laluan Semenanjung Malaysia–Sabah menghadapi kos operasi yang tinggi dan persaingan terhad, membawa kepada kadar tambang lebih tinggi sehingga 25 peratus berbanding jarak yang sama di Semenanjung Malaysia,” kata kenyataan itu.

Ramli berkata pengecualian dan tempoh masa ditetapkan boleh mengurangkan kos pengangkutan sebanyak 10 hingga 20 peratus pada tahun pertama, menggalakkan aktiviti perindustrian baharu dan mengintegrasikan Sabah dengan lebih berkesan ke dalam koridor perdagangan ASEAN seperti Borneo, Indonesia, Malaysia, Filipina–Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur.

Perkhidmatan pengangkutan backhaul yang lebih murah boleh membantu menjadikan pembuatan berorientasikan eksport berdaya maju terutamanya dalam sektor seperti perabot, minyak sawit yang diproses, dan produk akuakultur daripada inisiatif Ekonomi Biru Sabah, katanya.

"Ekosistem logistik Sabah memerlukan fleksibiliti pragmatik dan pengecualian bersasar. Ia boleh mengubah ketidakcekapan kepada peluang ekonomi, meningkatkan daya saing Sabah dalam Malaysia dan pasaran serantau yang lebih luas," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan